PANDU UJI PROTON X90 KE KUANTAN. SUV SEGMEN D IDAMAN KAUM IBU

proton x90 review

Jika anda mempunyai keluarga yang agak besar dan sedang mencari sebuah kenderaan yang selesa untuk keluarga tersayang, apa kata anda intai Proton X90? Sejujurnya, Proton X90 adalah antara SUV D-Segment paling berbaloi untuk dimiliki dan di sini kami akan nyatakan beberapa alasan utama selepas kami sendiri melakukan pandu uji Proton X90 Premium ke Kuantan, Pahang.

Bermula dari rekaan luaran, Proton X90 yang berasaskan model Geely Haoyue atau Geely Okavango ini sememangnya lebih ‘sado’ iaitu dengan 4,835mm panjang dan 1,900mm lebar. Maka, memang sesuai ia digelarkan sebagai ‘abang sulung’ kepada Proton X70 dan Proton X50. Untuk rekaan grill hadapan, ia kelihatan lebih menarik dengan bentuk seakan berlian kecil yang diinspirasikan daripada corak songket. Menariknya, sekilas pandang kita akan teringat pada rekaan grill Mercedes-Benz AMG Line namun masih mengekalkan ciri sebuah Proton. 

RUANG DALAMAN (INTERIOR)

Bagi keluarga yang agak besar, SUV dengan tujuh tempat duduk ini adalah yang terbaik untuk anda. Rekaan dalamnya sangat moden namun praktikal yang membuatkan ramai antara kami, lebih-lebih lagi kaum wanita jatuh hati. Dengan warna hitam di hampir setiap sudut dan penggunaan Nappa Leather pada bahagian tempat duduk, ia menonjolkan ruang kabin yang lebih elegan selain saiz ruang dalaman yang besar dan selesa.

Bagi bahagian compartment pula, rekaannya sangat simple namun praktikal. Yang paling kami suka adalah compartment di bahagian konsol tengah yang besar selain turut mempunyai tempat untuk meletakkan barang tambahan pada bahagian bawah. Pemandu wanita biasanya sangat suka dengan ruang tengah ini kerana ia memudahkan mereka untuk simpan tas tangan dengan lebih selamat.   

Bagi keluarga dengan anak kecil yang perlu menggunakan carseat, ternyata keluasan bahagian dalaman kereta ini memberikan keselesaan. Tidak terasa ‘lemas’ walaupun kami meletakkan sebuah carseat dan child booster seat pada bahagian penumpang tengah. 

Selain itu, untuk kaum wanita khususnya para ibu biasanya memang mencari kenderaan dengan saiz but yang besar. Yang pasti, Proton X90 tidak mengecewakan. Walaupun ia hanya 257L namun saat anda melipat tempat duduk baris ketiga, angkanya meningkat sehingga 1200L. Besar juga kan? Patutlah ada beberapa kenalan kami daripada geng mak-mak berkenan sangat dengan kereta ini. 

PANDU UJI KE KUANTAN

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan dengan menaiki Proton X90 Premium memberikan satu pengalaman yang sangat mengujakan. Jika selalunya kami membuat ulasan sesebuah kenderaan pada waktu siang, kali ini kami memilih pendekatan yang berbeza. Memang sengaja kami memilih untuk bertolak pada waktu lewat malam, untuk melihat sejauh mana prestasi SUV ini jika dipandu pada waktu malam pula. 

Pemanduan pada waktu malam untuk perjalanan yang jauh terasa sangat selesa, mungkin kerana ruang kabinnya cukup luas dengan ruang kaki yang baik untuk semua orang sama ada untuk pemandu atau penumpang. Suspensi SUV D-Segment ini juga terasa ‘lembut’ dan perjalanan kami sangat lancar walaupun melalui beberapa jalan dalam keadaan yang tidak rata (benjolan, lubang kecil).  Malah penumpang juga kelihatan tidur dengan selesa di sepanjang perjalanan ke Kuantan. Selain itu, kadar Noise, Vibration & Harshness (NVH) untuk Proton X90 juga boleh dipuji kerana ternyata ruang dalam kabin terasa lebih senyap dan selesa. 

Dengan tetapan hybrid ringan baharu yang dipadankan dengan 48V Electric Motor Synergy (EMS) System bersama enjin 1.5L Direct Injection dan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan, Proton X90 mampu menghasilkan 190PS dengan 300Nm tork. Walaupun kebiasaannya kenderaan besar dengan tujuh tempat duduk sering dikaitkan dengan pemanduan yang terasa berat namun Proton X90 ini sebenarnya sangat responsif. 

Enjin hybrid terasa lembut dan apabila anda mula mencapai tahap kelajuan sekitar 100 km/j anda akan rasakan SUV ini mampu menghasilkan pecutan yang hebat dan benar-benar ‘mengaum’. Walaupun anda membawa beberapa orang penumpang dan perlu mendaki bukit di sekitar laluan Kuala Lumpur ke Karak, prestasinya memukau dan tidak terasa lemah. Malah, potensi jaraknya untuk satu tangki penuh juga amat menakjubkan iaitu hampir 700km. Kira jimat minyak juga untuk sebuah kenderaan besar seperti Proton X-90 ni. 

Harga Yang Berpatutan

Jika anda membuat perbandingan harga di antara semua kenderaan baharu jenis SUV D-Segment dalam pasaran Malaysia, anda akan dapati bahawa rata-rata adalah dalam lingkungan harga RM 150 ribu dan ke atas. Namun untuk Proton X90, ternyata harganya adalah yang paling berpatutan iaitu dalam lingkungan RM 123 ribu hingga RM 153 ribu sahaja. Jadi pada anda yang sedang mencari SUV dengan tujuh tempat duduk yang selesa untuk keluarga dengan ciri keselamatan yang hebat serta teknologi yang canggih, apa kata anda cuba pandu uji Proton X90 sekarang dan rasai sendiri prestasinya. Pasti anda puas hati. Kalau nak tahu  dengan lebih lanjut, sila layari laman sesawang rasmi Proton di https://www.proton.com/ sekarang!

No comments yet! You be the first to comment.

Your email address will not be published.