KARMA LANGGAR LARI PENGHANTAR MAKANAN. AKHIRNYA TERBABAS KE TAKUNGAN NAJIS
![](https://www.automology.com/wp-content/uploads/2024/07/image1-3-1024x576.png)
Umpama hukum karma. Itulah yang berlaku kepada seorang pemandu kereta jenis Honda Civic apabila kereta yang dipandunya terbabas ke dalam takungan najis hanya 100-meter dari lokasi pemandu berusia 23 tahun tersebut melanggar lari seorang penghantar makanan.
Adakah disebabkan ketakutan? Atau cubaan langgar lari? Yang pasti hasil siasatan mendapati bahawa kemalangan itu berpunca akibat kecuaian pemandu kereta itu yang memandu secara semberono sebelum hilang kawalan. Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian itu bermula selepas pemandu Honda Civic itu terlepas simpang sebelum membelok ke sebelah kiri jalan dan melanggar seorang penunggang motosikal yang juga penghantar makanan.
Sumber imej: majoriti.com.my
Akibat panik, pemandu kereta tersebut segera meninggalkan kawasan kemalangan tanpa membantu mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian dahi, pipi serta calar di bahagian tangan dan kaki. Tidak lama selepas itu, kereta yang dipandu lelaki terbabit dilaporkan hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam kolam takungan najis di Taman Sri Wang, Sungai Petani, Kedah. Kesan daripada kemalangan itu pula, pemandu kereta terbabit telah mengalami kecederaan di bahagian dahi dan belakang badan.
Sumber imej: sinarharian.com.my
Kini, kes yang turut ditularkan oleh orang awam di media sosial itu akan disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang boleh membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM 5,000 hingga RM 15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun jika disabitkan kesalahan.
P/S: Jika melihat kepada bukti yang dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan lain, memang sudah terang lagi bersuluh bahawa pemandu kereta Honda Civic itu bersalah.