Jangan Main Redah Banjir. Bukan Semua Kereta Tinggi Mampu ‘Berenang’ Dengan Gah.

Apabila bercakap tentang kehebatan sesebuah kenderaan, selalunya peminat kereta akan bercakap tentang kehebatan dari segi pemanduan, kuasa kuda serta tork bukan? Namun tahukah anda bahawa apabila kita dilanda musim banjir, kereta-kereta dengan kelajuan tinggi itu tidak lagi gah. Ini kerana mereka mungkin akan ‘lemas’ dalam banjir jika nak dibandingkan dengan kenderaan tinggi seperti SUV atau trak pikap.

Namun, jangan pula anda sangka semua kereta tinggi itu mampu meredah banjir. Kerana bukan semua SUV atau kenderaan tinggi mempunyai tahap mengharungi kedalam air (wading depth) yang hebat. Kadang-kadang rupanya sahaja yang ganas, namun bila masuk air sikit dah semput. Di sini Automology akan dedahkan jenis-jenis kenderaan yang hebat untuk ‘berenang’ dalam banjir:

1. Land Rover Defender 2022 & Land Rover Discovery – Wading Depth 900 mm

Bagi Land Rover Defender yang lama, kemampuan wading depthnya hanya sekitar 500mm. Namun, model terbaharu Land Rover Defender nampaknya lebih hebat kerana kini wading depthnya meningkat sehingga hampir dua kali ganda, iaitu sekitar 900mm! Dengan harga sekitar RM 800 ribu sehingga RM 1.16 juta, ianya buka satu-satunya model Land Rover yang mempunyai kehebatan mengharungi air. Ini kerana Land Rover Discovery juga mempunyai wading depth sehingga 900mm walaupun pada harga yang sedikit rendah (bermula RM 688 ribu).

 

2. Ford Ranger Raptor – Wading Depth 850 mm

Ford Ranger Raptor, namanya sama gah dengan prestasi. Maka tidak hairan jika ianya turut menjadi kegilaan ramai di Malaysia. Pada harga sekitar RM 260 ribu, Ford Ranger Raptor 2022 mempunyai enjin 3.0 liter twin-turbo V6 yang mampu menghasilkan 397 kuasa kuda serta 583 Nm tork yang menjadikan ia sebagai Raptor paling hebat dalam keluarganya. Selain mampu memecut di antara 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat, kenderaan ini juga mampu meredah banjir sehingga 850mm! Apa je yang tidak mampu dilakukan oleh sebuah Ford Ranger Raptor yea?

3. Isuzu D-Max – Wading Depth 800 mm

Turut menjadi antara trak pikap paling digemari di Malaysia, terbukti Isuzu D-Max mempunyai kelebihan tersendiri. Jika model terdahulu mempunyai tahap mengharungi kedalam air sehingga 600 mm sahaja, model terbaharu mereka lebih unggul kerana tahap kedalaman ‘berenang’ dalam air adalah sehingga 800 mm! Memang patut jika jentera ini menjadi antara pilihan utama untuk redah air banjir. Harganya juga turut berpatutan iaitu sekitar RM 142 ribu. Kalau nak tahu dengan lebih lanjut boleh baca di sini ATAU anda juga boleh tengok video penuh tentang 4×4 ini di YouTube Automology:

4. Toyota Hilux, Toyota Land Cruiser & Mitsubishi Triton – Wading Depth 700 mm

Siapa tak kenal Toyota Hilux? Sering dipanggil sebagai Hilak oleh rakyat Malaysia, pikap ini merupakan yang paling laris di pasaran Malaysia sehingga turut menjadi kenderaan paling kerap dicuri di Malaysia! Bagi model terbaharu, anda boleh dapatkan Toyota Hilux pada harga bermula RM 95,880 atau mungkin lebih murah jika anda membeli Toyota Hilux terpakai. Menariknya, pikap ini mampu meredah banjir sehingga kedalaman mencecah 700mm.

Ada lagi satu model Toyota yang sama hebat dengan Toyota Hilux iaitu Toyota Land Cruiser. Walaupun dengan harga melebihi RM 300 ribu dan ruang kabinnya direka mewah dengan 7 kerusi, pasti ramai yang menyangka bahawa ianya adalah sebuah SUV yang manja. Namun jangan pandang rendah tentang kemampuannya untuk meredah banjir tau. Ini kerana bukan sahaja SUV ini hebat untuk pemanduan off-road, bahkan kadar tahap mengharungi kedalam air (wading depth) juga tinggi iaitu sekitar 700mm.

Jika anda nak pilihan lain selain Toyota, jangan risau kerana Mitsubishi juga mempunyai 4×4 yang sama hebat iaitu Mitsubishi Triton. Kalau anda nak tahu, trak pikap ini paling popular di Indonesia mungkin kerana kehebatan Super Select 4WD II nya. Apa yang pasti, 4×4 dengan harga bermula RM 135,200 ini mampu mengharungi air sehingga kedalaman mencecah 700 mm menjadikannya setaraf dengan  Toyota Hilux mahupun Toyota Land Cruiser.

No comments yet! You be the first to comment.

Your email address will not be published.