Volkswagen Golf GTi (MK8). Kenapa Kereta Ini Sangat Laku?
Volkswagen Golf ialah sebuah kereta kompak segmen C yang mula diperkenalkan pada tahun 1974. Turut menggunakan papan nama (nameplates) berlainan seperti Volkswagen Rabbit untuk pasaran Amerika Syarikat dan Kanada serta Volkswagen Caribe di Mexico, model ini sebenarnya sangat laku sehinggakan sebuah unit terjual setiap 40 saat! Sehingga kini, sudah lebih 35 juta unit Golf terjual sejak 45 tahun lalu.
Bagaimana pula dengan Golf GTi? Versi GTi tak perlu diperkenalkan lagi sebab model ini memang sangat popular dan mempunyai ramai peminat di Malaysia. Jadi tidak hairanlah jika dengan harga RM 227,012 (OTR) pun jualan MK8 masih hebat di pasaran negara kita.
Reka Bentuk Luaran (Exterior).
Jika anda seorang peminat Volkswagen Golf GTi, anda akan perasan bahawa rekabentuk model terbaharu ini tidak mempunyai perbezaan yang ketara. Cumanya, rekaan luaran Golf GTi MK8 ini kelihatan lebih futuristic dengan lampu LED yang lebih tajam dan memanjang selain mempunyai emblem GTI di sebelah lampu kiri. Untuk bahagian gril hadapan pula, model MK8 menggunakan corak sarang lebah (honeycomb) termasuk kemasan jalur merah pada gril.
Selain daripada bahagian hadapan, sisi kereta ini turut mempunyai emblem GTI. Untuk bahagian tayar pula, rim 18 inci Richmond digunakan dan dapat dilihat dengan jelas angkup brek (brake calipers) berwarna merah yang menyerlahkan lagi rekaan sporty sebuah Volkswagen Golf GTi MK8. Antara perkara lain yang membuatkan menyerlahkan ciri sporty Golf GTi MK8 adalah ekzos berkembar di bahagian belakang. Bunyinya juga boleh tahan walaupun tidak segarang model terdahulu.
Reka Bentuk Dalaman (Interior).
Pertama kali melangkah masuk ke dalam sebuah Golf GTi MK8, kokpit kelihatan lebih moden, kemas dan minimalis selaras dengan teknologi yang digunakan. Banyak butang kawalan jenis sesentuh dan digital yang digunakan untuk menggantikan butang fizikal model terdahulu. Namun antara banyak-banyak perkara yang paling kami rasa menarik adalah saiz tombol gear yang digunakan. Sangat comel dan sesekali rasa kekok semasa memandu kerana tangan kami seakan tercari-cari di mana tombol gear?
Bagi yang suka sentuhan lampu ambient lighting, pasti mereka akan sukakan Golf GTi MK8 kerana model ini mempunyai sehingga 30 pilihan warna untuk bahagian depan dan belakang. Jika waktu siang, kurang sedikit keterujaan untuk menukar warna lampu. Namun bila memandu pada waktu malam, warna lampu ambient lighting akan kerap ditukar. Kami punya teruja main lampu tu memang mengalahkan budak-budak.
Bagaimana pula dengan kerusi? Penggunakan tempat duduk ala bucket dengan material Vienna Leather bersama kemasan jahitan merah memang cantik. Sokongan tepi (seat bolster) pula tidak terlalu besar namun cukup selesa untuk pemanduan yang lebih padu. Cumanya, mungkin agak kurang selesa jika dipandu oleh mereka yang berbadan besar.
Enjin.
Untuk pengetahuan, Volkswagen Golf GTi MK8 dikuasakan oleh enjin 2.0L turbo 4-silinder yang mampu menghasilkan 245 kuasa kuda (hp) dan 370Nm tork. Kadar pecutan juga hebat di mana kereta ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.4 saat. Kelajuan maksimum (top speed) pula ialah sekitar 250 km/j. Transmisi yang digunakan ialah dwi-klac dengan 7-kelajuan (7-speed DSG).
UBAH RON95 KEPADA RON98 DENGAN X-1R OCTANE BOOSTER:
Pandu Uji.
Suspensinya memang cukup sporty dan stereng juga agak ‘berat’ sesuai dengan sebuah hot hatch. Pemanduan terasa sangat selesa, sporty dan meyakinkan walaupun pada kelajuan yang agak tinggi. Walaupun model ini merupakan hatchback front-wheel drive (FWD) namun di kawasan selekoh tidak pernah terasa ‘membuang’ atau menghadapi masalah seperti oversteer mahupun understeer. Kawalan stereng terasa kemas dan jitu yang turut boleh dirasai walaupun untuk pemandu amatur. Sesekali terasa seperti pelumba professional apabila memandu sebuah Golf GTi MK8. Memang patut kereta ini menjadi idaman buat peminat-peminat kereta di luar sana.
Ini baru Volkswagen Golf GTi MK8 tau. Belum lagi ‘abang’ dia yang lagi ganas iaitu Golf R yang turut menjadi model R paling pantas di Litar Nurburgring tu. Mungkin selepas ini kami akan pandu uji Golf R pula?
P/S: Jangan lupa untuk menonton video penuh tentang Volkswagen Golf GTi MK8 ini di YouTube Automology di sini: