PEUGEOT 408: MODEL PEUGEOT PERTAMA DILANCARKAN OLEH STELLANTIS MALAYSIA.

peugeot 408

Peugeot 408 kini telah dilancarkan secara rasminya untuk pasaran Malaysia pada 29 April 2024, bertempat di Grand Hyatt Kuala Lumpur. Menariknya, Peugeot 408 bukan sahaja pernah memenangi anugerah reka bentuk terbaik Red Dot 2023 namun model ini juga turut menjadi model Peugeot pertama yang dilancarkan oleh Stellantis Malaysia.

PEUGEOT 408

Di saat pertama kali tetamu yang hadir melihat model Peugeot 408, semuanya kelihatan teruja kerana rekaan Peugeot 408 nyata sangat elegan, moden dan garang. Rekaan hadapan mengetengahkan emblem jenama Peugeot yang ternyata lebih memukau bersama gril jeriji vertikal selain menggunakan Peugeot Signature light serba baharu iaitu kluster lampu utama LED yang membentuk nyalaan seperti taring singa. Garis bumbung juga agak condong dan berlekuk indah persis telinga kucing yang mana ianya untuk menghasilkan koridor aerodinamik yang lebih optimum pada bahagian lid spoiler.

PEUGEOT 408

Dari segi prestasi di atas jalan raya pula, pengalaman memandu sebuah Peugeot 408 baharu pasti akan membuatkan pemandu terasa pemanduan yang lebih lincah dengan gaya mewah yang mana ia dikuasakan dengan enjin PureTech turbo 1.6-liter bersama transmisi automatik EAT8 8 kelajuan pintar yang mampu menjana kuasa sehingga 218hp dan 300 Nm tork. Kadar pecutannya juga amat membanggakan iaitu dari 0-100 km/j dalam masa hanya 8.8 saat. Hebat!

PEUGEOT 408

Menurut Ketua Pegawai Operasi, ASEAN dan Pengedar Am, Stellantis Daniel Gonzalez, model baharu Peugeot ini adalah sangat unik sehingga melayakkan ia untuk mendapat pelbagai jenis anugerah di seluruh dunia. Maka tidak hairanlah jika jualan model ini sangat memberangsangkan di pasaran Vietnam dan Taiwan sekali gus membentuk sehingga 30% daripada kereta Peugeot di sana. Oleh itu, pihak Stellantis Malaysia amat berbangga untuk membawakan ikon terkini yang dipasang di kilang Stellantis Malaysia (CKD) yang terletak di Gurun, Kedah. 

PEUGEOT 408

Untuk pengetahuan, terdapat empat warna pilihan terbaik yang anda boleh pilih iaitu Okenite White (putih), Obsession Blue (biru), Perla Nera Black (hitam) serta Artense Grey (kelabu). Bagaimana pula dengan harga? Model Peugeot 408 ini ditawarkan dalam tiga varian iaitu Allure (RM 146,055), Premium (RM 166,055) dan Flagship GT (RM 196,055).

Nampaknya, rekaan terkini dari luaran dan dalaman selain prestasi Peugeot 408 ini amat sesuai dengan tiga ciri utama yang digabungkan iaitu Allure (Memikat), Emotion (Emosi) dan Excellence (Kecemerlangan) yang dilihat mampu memikat ramai peminat industri automotif di Malaysia. Apa anda tunggu lagi? Cepatlah serbu bilik pameran Peugeot di seluruh Malaysia sekarang atau lawati laman web Peugeot 408.

No comments yet! You be the first to comment.

Your email address will not be published.