Audi Saman Pemain Bayern Munich, Kingsley Coman, Sebanyak RM246 Ribu Sebab Pergi Latihan Guna Mercedes

Mahalnya saman! Tapi itulah padahnya apabila pemain Bayern Munich, Kingsley Coman, memandu kereta Mercedes dan bukannya kereta penaja utama kelab tersebut, iaitu Audi, untuk ke sesi latihan. Akibat daripada ‘tersalah’ pandu kereta, pemain bola berusia 24 tahun itu telah dihalang masuk ke tempat letak kereta khas di tempat latihan oleh pihak keselamatan dan dia terpaksa meletakkan kereta Mercedes putih miliknya di bahu jalan.
Selain daripada kena saman sehingga £43,000 (bersamaan RM246,000), beliau juga turut mengundang kemarahan daripada pihak Bayern Munich kerana tidak menaiki kereta penaja utama kelab tersebut.

Ramai sudah sedia maklum yang Audi memiliki 8.33 peratus kelab Bavaria dan tajaan mereka dikatakan bernilai sekitar £42.8 juta (bersamaan RM244 juta) setahun. Oleh sebab itu, hanya kereta daripada Audi dan juga kumpulan Volkswagen sahaja yang dibenarkan untuk dipandu oleh pemain kelab Bayern Munich untuk urusan ‘perjumpaan perniagaan’ seperti ke latihan, pertandingan dan sebarang acara penajaan.
Tapi, ini bukan kali pertama Coman buat kesalahan ni tau. Tahun lepas pun dia pernah buat kesalahan yang hampir sama di mana dia bertindak memandu kereta McLaren 570S Spider miliknya yang bernilai £174,000 (RM 993,540) dan bukan kereta Audi. Dia ni ada masalah dengan kereta jenama Audi ke? Atau nilai saman itu terlalu murah buat pemain bola antarabangsa sepertinya?
