AUDI A5 SPORTBACK. Pandang Sekali Tak Cukup

Baru-baru ini kami diberi peluang untuk memandu uji model Audi A5 Sportback S Line Quattro. Saat pertama kali melihat jentera yang bakal kami pandu uji, kami sangat terpegun! Bukan hanya rekaannya sangat mewah, premium dan sporti malah warna Chronos Grey ini juga membuatkan rekaan keseluruhan Audi A5 ini kelihatan cukup sempurna.

 

Lagi menarik, rekaan hadapannya kelihatan seperti sebuah sedan manakala dari sebelah sisi dan belakang pula jelas menunjukkan bahawa ianya adalah sebuah sportback. Dengan bampar yang lebih runcing, lampu hadapan yang tirus, kemasan krom serta garisan dan lekuk yang menonjol, ternyata Audi A5 Sportback ini mampu membuatkan sesiapa sahaja terpukau. Ditambah pula dengan tayar menggunakan rim 19 inci multi spoke style alloy dan pintu tanpa bingkai (frameless). Lagi wow!

Pada bahagian belakang pula, boot kelihatan agak pendek dari luaran, namun sebenarnya saiz boot Audi A5 Sportback ini agak besar iaitu sekitar 465 liter. Di bahagian bawah pula, kita dapat lihat kemasan krom dengan dua ekzos kereta.

Di saat kami membuka pintu dan masuk ke bahagian dalaman, ternyata kereta dengan harga hampir RM 500 ribu ini mempunyai rekaan dalaman yang sangat ringkas namun mempunyai ciri moden dan mewah. Tempat duduk warna hitamnya menggunakan fine nappa leather, sekaligus menambahkan lagi ciri premium pada Audi A5 Sportback.

Di ruang hadapan terdapat sebuah infotainment dengan saiz 10.1 inci. Paparannya pula sangat mesra pengguna, senang untuk digunakan dan tetapan pula tidak terlalu banyak. Jadi pemandu tidak akan pening untuk menggunakan tetapan yang diperlukan. Memang tipikal sebuah Audi. Kemas dan tersusun.

Bagaimana dengan pandu uji? Ternyata prestasinya bukan calang-calang. Dengan menggunakan enjin 2.0-liter turbo TFSI, Audi A5 Sportback Quattro dengan ultra technology ini mampu menghasilkan 249 PS dan 370 Nm tork. Turut didatangkan dengan kotak gear dwi-klac 7 kelajuan S-tronic, ianya mampu mencapai sehingga 209 km/j (top speed) dan kadar pecutan pula sangat hebat, dari iaitu 0 hingga 100 km/j dalam hanya 5.3 saat! Sesekali kami cuba menukar ke mode dynamic atau mode sport namun ternyata kereta ini tidak langsung kedengaran seperti mengaum.

Antara perkara lain yang boleh kami puji tentang Audi A5 Sportback ini adalah walaupun dengan menggunakan enjin yang cukup berkuasa, namun tahap pembakaran minyaknya sangat baik. Hanya sekitar 7.1-liter bagi setiap 100 kilometer. Kira jimatlah dengan enjin yang berkuasa dan tork yang tinggi. Kan?

Dari segi ciri keselamatan pula, tidak mengecewakan langsung. Sebab Audi A5 Sportback ini didatangkan dengan Audi Pre-Sense Rear and Basic yang mana ia mempunyai sensor untuk mengesan sebelum perlanggaran selain beberapa ciri keselamatan yang lain. Antaranya:
• Ada warning light pada cermin sisi
Lane departure warning
Lane change assist
• Mempunyai 6 beg udara
• Bantuan parking dengan kamera pandangan belakang

Jadi, ada yang berminat untuk dapatkan kereta ini? Terus sahaja ke PHS Automotive Malaysia Sdn Bhd atau anda juga boleh layari dan cuci mata di www.audi.com.my Pasti rambang mata dibuatnya!

No comments yet! You be the first to comment.

Your email address will not be published.