Tesla Masuk Malaysia. Bagaimana Pula Dengan Indonesia?

Sumber imej: asiatimes.com

Umum sudah tahu bahawa Tesla menghasilkan banyak kenderaan elektrik seperti Model S, Model 3 dan Model X selain semakin berkembang pesat di seluruh dunia kerana inovasi teknologi mereka yang ternyata berbeza. Baru-baru ini, Tesla telah melakukan langkah yang tidak terjangka, iaitu masuk ke pasaran Malaysia sehinggakan ia menimbulkan tanda tanya, mengapa Elon Musk memilih Malaysia dan bukannya Indonesia? Kita tahu bahawa Elon Musk adalah seorang genius dalam dunia sains dan perniagaan dan ternyata langkah Tesla untuk masuk ke pasaran negara kita bukanlah sesuatu yang secara tiba-tiba atau kebetulan. Sudah tentu beliau telah meneliti kesemua aspek penting sebelum mengembangkan sayapnya ke Malaysia.

Jadi, adakah langkah Elon Musk ini memberi impak kepada Indonesia? Mungkin. Apa yang pasti, ia turut memberikan isyarat bahawa sudah masanya Indonesia juga menapak setapak ke hadapan dan mengambil serius terhadap revolusi kenderaan elektrik yang semakin popular.

Sumber imej: youtube.com

Namun persoalannya antara dua buah negara yang dari dahulu lagi menjadi pesaing, kenapa Tesla memilih Malaysia? Antara jawapan paling tepat adalah insentif yang ditawarkan oleh Malaysia lebih progresif dalam mendukung kenderaan elektrik, termasuk pengecualian cukai bagi kenderaan elektrik dan juga peningkatan infrastruktur pengecasan bateri yang lebih meluas.

Manakala bagi Indonesia pula, walaupun populasi dan ekonomi mereka lebih besar di Rantau Asia Tenggara namun malangnya mereka masih perlu berdepan dengan cabaran menyediakan infrastruktur yang lebih baik. Selain itu, insentif yang diberikan juga masih belum cukup untuk menyakinkan Tesla untuk melebarkan sayapnya ke Indonesia. Hal ini pasti agak menyedihkan buat Presidennya, Joko Widodo yang sudah lama menyimpan matlamat untuk bekerjasama dengan Tesla dan menjadikan Indonesia sebagai hub atau pusat kenderaan elektrik bagi Rantau Asia selepas China.

Sebenarnya, masih banyak peluang lagi untuk bekerjasama dengan Tesla. Mungkin Malaysia mempunyai ibu pejabat dan beberapa pusat jualan dan perkhidmatan. Namun hadiah paling besar sebenarnya ialah negara mana yang bakal mempunyai kilang Tesla? Kita tengok dan lihat.

Sumber imej: teslarati.com
No comments yet! You be the first to comment.

Your email address will not be published.