Salah Ke Kalau Keluarkan Kepala Dari Sunroof?

Sumber imej: hmetro.com.my

Sekitar bulan Januari 2023, tular tentang video yang memaparkan seorang kanak-kanak mengeluarkan kepalanya melalui bumbung tembus cahaya (sunroof) sebuah Proton X70 merah. Berdasarkan rakaman, kejadian itu didapati berlaku di kawasan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dari Subang Jaya menuju ke arah Bukit Lanjan.

Baru-baru ini, tular pula video tentang sebuah MPV di laman Facebook Malaysia Automotive Shiftposting yang mana terdapat tiga remaja yang mengeluarkan kepala melalui sunroof di Jalan Sultan Idris Shah, Ipoh, Perak. Jadi, salah ke sekiranya kita mengeluarkan kepala melalui sunroof?

Sumber imej: hmetro.com.my

Rupa-rupanya memang salah. Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, perbuatan mengeluarkan kepada melalui sunroof boleh dikenakan dua tindakan. Yang pertama, kes boleh disiasat di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana boleh membahayakan nyawa atau keselamatan diri dan orang lain. Yang kedua pula, sekiranya yang terlibat dengan perbuatan ini adalah kanak-kanak, maka siasatan boleh dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin boleh menyebabkan kecederaan fizikal.

Sumber imej: ohbulan.com

Antara kes yang pernah terjadi akibat mengeluarkan kepala daripada sunroof adalah:

  1. Seorang kanak-kanak berusia 5 tahun menjadi separa lumpuh apabila sehelai beg plastik melayang ke mukanya dan menyebabkan kepalanya tertolak ke belakang. Kesannya, tulang leher patah dan rosak saraf tunjang.
  2. Seorang kanak-kanak berusia 8 tahun pecah hati apabila bapanya melakukan brek kecemasan dan menyebabkan badan mangsa tertolak ke hadapan. Kesannya, abdomen mangsa terhentak di hadapan yang menyebabkan organ dalaman dan hati pecah.
  3. Di India pula, dua kanak-kanak berusia 3 dan 4 tahun meninggal dunia apabila leher mereka dikelar dengan tali layang-layang manjha.
Sumber imej: ndtv.com

Cuma satu je yang agak musykil di sini. Kalau perbuatan ini salah dan boleh menyebabkan banyak keburukan daripada kebaikan, kenapa pihak berkuasa tidak mengharamkan sahaja kenderaan yang mempunyai sunroof?

Jadi, kepada ibu bapa yang membenarkan anak keluarkan kepala melalui sunroof, ingatlah bahawa perbuatan itu mungkin budak-budak suka tapi ianya sangat bahaya kepada mereka. Mencegah lebih baik daripada mengubati. Kan?

Sumber imej: reddit.com
No comments yet! You be the first to comment.

Your email address will not be published.