Perodua Kelisa – ‘Mini Cooper Malaysia’ Semakin Mahal?
Sesekali memandu di jalanraya pasti kita akan terjumpa si cilik ini yang handal mencilok di tengah jalanraya yang sibuk. Mungkin kerana saiznya yang kecil, ia mempunyai banyak kelebihan untuk kegunaan di bandar selain parking pun senang. Sekilas pandang pula, bentuk kereta ini persis sebuah Mini Cooper yang kecil. Jadi tidak hairanlah jika seringkali ianya digelarkan sebagai ‘Mini Cooper Malaysia’.
Inilah dia Perodua Kelisa yang mula diperkenalkan pada tahun 2001 untuk menggantikan sang Kancil sebelum akhirnya diganti pula dengan Perodua Viva pada tahun 2007. Walaupun sudah 20 tahun berada di pasaran, model Perodua Kelisa masih mempunyai peminat tersendiri malah ramai yang mendakwa bahawa harga model kereta ini semakin melambung tinggi. Selain itu juga, mereka turut mendakwa bahawa kereta ini semakin sukar diperolehi termasuk di kedai kereta terpakai.
Antara perkara menarik tentang isu harga Perodua Kelisa yang semakin ‘keras’ ini adalah tinjauan juga mendapati agak sukar untuk mendapatkan kereta ini pada harga di bawah RM 10,000. Jika ada pun kondisi kereta ibarat ‘hidup segan mati tak mahu’ kerana banyak yang perlu dibaiki. Jika yang masih dalam keadaan elok, rata-rata harga bagi sebuah Perodua Kelisa ialah sekitar RM 15,000.
Kenapa harganya boleh mencanak naik?
Antara penyebab utama adalah kerana kereta ini mendapat permintaan yang sangat tinggi. Malah, lebih ramai pembeli yang ingin memiliki Perodua Kelisa jika nak dibandingkan dengan Perodua Axia atau Perodua Viva kerana rekaannya yang lebih comel, binaan badan yang lebih kukuh, jimat minyak, senang parking, alat ganti yang murah serta senang diperoleh termasuk di kedai potong (halfcut).
Ada tak pemilik dan peminat Perodua Kelisa di sini? Anda mungkin gembira dengar berita harga kereta anda semakin mencanak naik. Namun anda harus berhati-hati kerana di sebalik sesuatu barang yang mendapat permintaan tinggi namun kurang ‘bekalan’, kereta model ini mungkin akan menjadi sasaran seterusnya bagi geng pencuri kereta. Pantang nampak je mereka ni. Senang betul dia meniaga tanpa modal ni kan?