Kemalangan Helikopter Paling Tragis Di Malaysia. Ada Ahli Politik, Ibu Mengandung Yang Jadi Korban

Sumber imej: ohbulan.com

Beberapa hari lepas kecoh apabila dua helikopter yang dalam perjalanan ke Genting Sempah dari Subang telah berlanggar di udara sebelum terhempas. Jurulatih penerbangan iaitu Kolenel (B) Mohd Sabri Baharon, 56 serta pelatih penerbangan, Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 41 disahkan terkorban dalam kejadian itu. Manakala sebuah lagi helikopter yang dikendali oleh Datuk Ahmad Jauhari Yahya, 66 serta rakannya Tan Chai Elan, 56 terselamat apabila mereka berjaya membuat pendaratan kecemasan di sebuah padang sekolah.

Kejadian di atas merupakan kes terbaru yang berlaku di Taman Melawati pada 8 November 2020 lepas. Sebenarnya, kejadian helikopter terhempas di Malaysia ni memang sangat jarang berlaku. Di sini juga kami sertakan beberapa lagi kes kemalangan melibatkan helikopter yang sangat tragis yang pernah menggemparkan Malaysia suatu ketika dahulu.

1) NAHAS HELIKOPTER PEMASANGAN MENARA PEMANCAR MAXIS – TAHUN 1996

Sumber imej: siakapkeli.my

Masihkah anda ingat tentang kejadian pada 14 Jun 1996 ni? Pada hari kejadian, helikopter jenis Bell Long Ranger IV terhempas dan meragut lima nyawa iaitu juruterbang dan pembantunya serta seorang wanita yang sarat mengandung bersama anaknya yang terkena rangka dan kipas helikopter tersebut semasa berada di stesen bas berhampiran. Apa yang paling menyayat hati ialah suami mangsa meraung semasa mengutip badan isteri yang sarat mengandung serta seorang lagi anaknya yang menjadi mangsa dalam kejadian tragis terbabit. Jadi sekarang kalau anda ternampak menara pemancar Maxis di Sri Damansara tu, ketahuilah suatu ketika dulu ia pernah meragut banyak korban.

2) NAHAS HELIKOPTER NURI DI GENTING SEMPAH – TAHUN 2007

Sumber imej: tohairforce1981.blogspot.com

Sedekad selepas kejadian di atas, negara dikejutkan lagi dengan berita helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia terhempas di Genting Sempah pada 13 Julai 2007. Dalam kejadian malang itu, enam anggota tentera udara telah terkorban. Pada mulanya, helikopter itu dilaporkan terputus hubungan semasa melalui kawasan Genting Sempah – Janda Baik pada jam 9.35 pagi dan hanya dijumpai di sebuah lurah dalam di kaki Gunung Bunga Buah, lima hari kemudian iaitu pada 17 Julai 2007. Pada ketika ni, operasi mencari dan menyelamat melibatkan seramai 1,000 anggota tentera udara, tentera darat, polis serta orang Asli. Malangnya apabila ditemui, kesemua mangsa telah meninggal dengan keadaan tubuh yang mereput dan masih melekat di kokpit.

3) NAHAS HELIKOPTER SEMENYIH, TAN SRI DR JAMALUDDIN JARJIS TERKORBAN – TAHUN 2015

Sumber imej: bharian.com.my

Tanggal April 2015, enam individu termasuk bekas menteri iaitu Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang juga Ahli Parlimen Rompin dan ahli Majlis Tertinggi Umno serta Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias, telah terkorban apabila helikopter yang dinaiki mereka terhempas di ladang getah Kampung Pasir Baru Semenyih. Dalam kejadian itu, pihak bomba telah menerima panggilan kecemasan apabila maklumat mengatakan ada helikopter telah terhempas dan terbakar, yang mana kemalangan ngeri itu berlaku ketika hujan dan angin kencang. Namun, laporan akhir nahas itu menunjukkan punca utama kemalangan itu adalah berpunca dari kecuaian juruterbang apabila dia tidak melakukan sebarang pemeriksaan ke atas helikopter terbabit sebelum berlepas.

4) HELIKOPTER TERHEMPAS, AHLI PARLIMEN KUALA KANGSAR ANTARA TERKORBAN – TAHUN 2016

Sumber imej: says.com

Pada 5 Mei 2016, sebuah helikopter bersama enam penumpang termasuk Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Muhammad Khai-ril Anuar dan Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dari Bentong sepatutnya tiba di Kuching. Namun malangnya, selepas berlepas, helikopter itu terputus hubungan. Lebih 100 orang anggota pasukan polis Marin, Bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta Pasukan Gerakan Am (PGA) terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat. Selepas 4 hari, iaitu tanggal 9 Mei 2016, kesemua mayat mangsa nahas ditemui yang mana mangsa maut terakhir yang ditemui di kawasan Triso, Sebuyau ialah juruterbang helikopter terbabit, Kapten Rudolf Rex Ragas.

No comments yet! You be the first to comment.

Your email address will not be published.