Duduk Flat Selera Kondo? Jangan Cop Parking Sesuka Hati
Isu ‘cop parking’ memang sering berlaku khususnya di kawasan dengan petak parking yang terhad. Contohnya seperti di kawasan perumahan, lot kedai atau juga di pusat beli-belah. Ada yang meletakkan objek seperti kon, pasu, tong sampah, kerusi, ampaian dan lebih parah ada yang tanpa segan silu membina garaj berbumbung. Ini yang orang panggil ‘duduk flat selera kondo’.
Siapa yang tak marah jika petak parkir yang boleh digunakan oleh semua orang tiba-tiba diletakkan tanda kononnya dia adalah pemilik parking tersebut? Walhal dia tidak membayar walau satu sen pun untuk sewa petak parking itu.
Sama seperti satu kes di mana ada seorang lelaki yang berang apabila ada seorang wanita dengan selambanya meletakkan sebuah tong sebagai alat cop parking di sebuah kawasan perumahan flat. Menerusi sebuah video rakaman dashcam itu, lelaki tersebut dengan marahnya berkata petak parking tidak boleh dicop dan sempat berpesan kepada wanita terbabit supaya duduk di kondo jika nak ada parking sendiri.
Sebenarnya itu hanya salah satu kes yang pernah berlaku. Sebelum ini sudah banyak perkongsian di media sosial dan juga di dada akhbar yang melaporkan isu yang sama. Namun mereka masih lagi buat samseng dan lebih teruk apabila ada yang sanggup merosakkan kenderaan dan mengancam keselamatan penduduk lain hanya kerana orang itu telah ambil parking yang telah dicop olehnya.
P/S: Buat orang yang suka cop parking di luar sana, tolong la malu pada diri sendiri. Kalau orang kata hidup nak macam dalam kayangan tapi tak sedar diri tak mampu marah pula.