Kereta Melambung Akibat Langgar Tayar Trak Pikap Tercabut
Satu kejadian ngeri berjaya dirakam oleh dashcam apabila sebuah kereta hatchback Kia Soul melambung ke udara selepas terlanggar tayar sebuah trak pikap Chevy Silverado di sebelahnya. Dalam kejadian tersebut, Kia Soul berada di sebelah kiri manakala trak pikap pula berada di lorong tengah Lebuhraya 118 di Chatsworh, California, Amerika Syarikat.
Tidak lama kemudian, tayar kiri hadapan trak pikap itu tiba-tiba tercabut sendiri sebelum bergerak ke arah laluan kereta Kia Soul terbabit. Beberapa saat selepas itu, kereta Kia Soul dilihat tidak sempat mengelak dan terlanggar tayar sesat itu yang menyebabkan hatchback tersebut melambung tinggi ke udara dan berpusing. Memang jelas daripada video tersebut bahawa kereta Kia Soul itu mengalami kerosakan yang sangat teruk, kesan terhempas selepas perlanggaran.
Namun, nasib masih lagi menyebelahi mangsa apabila pemandu Kia Soul yang rosak teruk itu didapati selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan. Hebat juga kereta Kia Soul kan? Walaupun kereta rosak teruk dan kelihatan hampir hancur, pemandu masih lagi selamat. Atau mungkin juga sebab pemandu itu memakai tali pinggang keledar semasa memandu yang membuatnya tidak tercampak keluar semasa berlaku perlanggaran.
Apa-apa pun, tidak kira kereta apa pun yang kita pandu, jangan memandu dalam keadaan melulu dan harus peka dengan keadaan sekeliling. Paling penting, tidak kira jarak jauh atau dekat, pastikan anda sentiasa memakai tali pinggang keledar untuk keselamatan yang lebih optimum.