Mungkin kejadian ini adalah antara yang terburuk dalam hidup seorang pemandu treler apabila dia telah menyebabkan satu kemalangan yang memusnahkan sembilan supercar yang bernilai sekitar RM 11.69 juta. Menurut laporan daripada The Daily Mail, kejadian treler terbalik itu berlaku di lebuh raya A20 berhampiran Farningham, Kent di United Kingdom. Jadi, apa sebenarnya yang berlaku? Ini kes pekerja mogok atau percubaan geng Dom Toretto untuk mencuri kereta?
Rupa-rupanya, kejadian itu disebabkan oleh cubaan pemandu lori, Richard Kilburn yang ingin menyelamatkan nyawa. Menurutnya, dia sedang mengangkut kenderaan mewah tersebut dari Brands Hatch ke Goodwood namun lori itu mula tidak stabil akibat angin lintang semasa sedang menuruni bukit curam. Dalam keadaan lori yang semakin laju dan hilang kawalan, dia melihat terdapat sekumpulan penunggang basikal di hadapan yang menyebabkan beliau terus menarik stereng untuk mengelak daripada melanggar penunggang basikal.
Hasilnya, lori yang dipandu terbalik dan memusnahkan kesemua sembilan supercars di atasnya. Walaupun semasa pihak polis yang tiba di tempat kejadian terkejut melihat kereta mewah ‘bergelimpangan’ di atas jalan raya, namun pemandu lori itu hanya mengalami luka ringan dan tiada mangsa yang terkorban. Nasib baik pemandu lori adalah seorang yang berpengalaman dan cekap. Kalau tidak mungkin kemalangan ini mungkin akan turut mengorbankan nyawa lebih ramai pengguna jalan raya yang lain.
Antara kereta yang terlibat dengan kemalangan tersebut adalah Lamborghini Aventador, Jaguar F-Type, dua Ferrari F430, Audi R8, BMW 318i Sport Plus, AMG GT Black Series, Aston Martin DB11, Nissan GT-R R35 dan Bentley Continental GT. Bila disiasat tentang siapa sebenarnya pemilik kepada kesemua supercar ini, rupa-rupanya pemiliknya adalah Darren Edmonds, seorang jutawan yang juga peminat kereta mewah yang turut memiliki 200 kenderaan mewah yang lain. Memang ‘next level’ punya kaya macam ni. Orang lain nak beli kereta sebuah pun pakai loan bank sembilan tahun.