Volkswagen Dedah Golf R333 Edisi Terhad. 333HP, 333 Unit Sahaja

Sumber imej: Volkswagen-newsroom.com

Baru-baru ini, Volkswagen telah mendedahkan Golf R 333 edisi khas baharu yang bakal dijual secara ekslusif dalam jumlah yang terhad kepada pelanggan di seluruh dunia. Didatangi dengan pakej prestasi yang ditempah secara khas, termasuk ekzos Akrapovic, Golf R 333 edisi khas baharu ini masih lagi menggunakan nadi EA999 2.0-liter turbo yang mampu menghasilkan sehingga 333 kuasa kuda dan 420 Nm tork. Sama seperti jumlah kuasa kudanya, iaitu 333 hp, hanya 333 unit sahaja yang bakal dijual. Sebab itu kita dapat lihat ada emblem atau lambang 333 di sisi bahagian belakang kereta ini.

Bagi peminat Volkswagen, ramai yang sudah tahu tentang kereta hebat ini. Mungkin bentuk luarannya agak sama seperti Golf GTi namun jika kita nampak lambang R, ketahuilah bahawa ianya bukan model Volkswagen yang biasa-biasa. Maka tidak hairanlah jika Golf R 333 ini mampu memecut dari 0 sehingga 100 km/j dalam hanya 4.6 saat (0.2 saat lebih laju daripada Golf R 2022). Manakala untuk kelajuan tertinggi (top speed) yang mampu dicapai oleh Golf R 333 pula ialah sehingga 270 km/j (Golf R 2022 pula 250 km/j).

Apa lagi yang menarik tentang kereta Golf R 333 ni? Antaranya adalah selain menggunakan ekzos prestasi R oleh Akrapovic yang merangkumi penyenyap belakang titanium, Golf R 333 juga didatangkan dengan set rim Estoril saiz 19 inci, tayar semi-slick serta warna cat istimewa iaitu cat metalik Lime Yellow dengan bumbung berwarna hitam. Selain itu, bahagian dalaman pula turut mempunyai kemasan sporty dan mewah dengan tempat duduk yang dibaluti dengan kulit Nappa serta sistem audio hebat dan premium oleh Harmon Kardon.

Bagaimana pula dengan harganya? Jika Volkswagen Golf R 2.0 TSI 2022 dijual pada harga sekitar RM 429,000 untuk pasaran Malaysia, maka sudah tentu harga Golf R 333 ini dijual pada harga yang lebih tinggi bukan? Ternyata jentera ini bukan termasuk dalam kategori mampu milik. Mampu tengok pun belum mampu sebab hanya 333 unit sahaja yang dijual di seluruh dunia.

No comments yet! You be the first to comment.

Your email address will not be published.