Lagi Kena Scam Iklan Kereta Terpakai. Rugi Lebih RM130,000
Gara-gara terpedaya dengan sebuah iklan menjual kereta terpakai di Facebook, seorang wanita telah kerugian lebih RM 130,000. Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, pada mulanya mangsa ingin membeli kereta terpakai selepas melihat satu iklan di laman Facebook. Kemudian, mangsa telah menghubungi pemilik akaun Facebook berkenaan tanpa menyedari bahawa laman itu sebenarnya tidak wujud.
Mungkin mangsa tertarik dengan iklan kerana kereta idamannya dijual dengan harga yang jauh lebih murah, mangsa telah menghubungi pemilik akaun Facebook berkenaan. Tidak lama selepas itu, suspek telah menghubungi mangsa melalui WhatsApp dengan memperkenalkan dirinya sebagai jurujual kereta selain turut menghantar gambar kad pengenalannya untuk menyakinkan mangsa.
Selepas sudah bersetuju dengan pembelian kereta tersebut, mangsa kemudian diminta untuk membuat bayaran perbankan dalam talian membabitkan enam akaun bank berbeza. Walaupun sudah melakukan lebih 25 transaksi, mangsa masih lagi gagal menghidu penipuan yang dilakukan oleh suspek dan hanya tersedar bahawa dirinya ditipu selepas diberitahu oleh rakannya. Selepas itu, bapa mangsa telah membawa mangsa ke balai polis untuk membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Memang hebat sangat kemahiran jual beli yang dimiliki oleh scammer kan? Sebab rata-rata mangsa yang terpedaya seolah-olah kena pukau sebab mereka boleh melakukan transaksi terus walaupun sebelum melihat kereta itu sendiri di depan mata. Atau adakah mangsa sendiri adalah seorang yang kurang peka dengan taktik scammer? Entahlah. Senang cerita, kalau nak membeli kereta terpakai, sila beli di kedai yang betul-betul wujud. Ataupun kalau nak tengok melalui talian, boleh periksa di Carlist, myTukar atau Carsome. Jangan la buat pembelian melalui Facebook.