Viral Penjual Kereta Salah Letak Harga Porsche Panamera Untuk Dijual. Sepatutnya Hampir RM 1 Juta, Bukan RM 78 Ribu!

Beberapa hari lepas, nak luruh jantung peminat Porsche apabila melihat iklan sebuah kereta Porsche Panamera. Siapa yang tak terkejut jika kereta mewah baharu yang biasanya dijual dengan harga RM 600,000 hingga lebih RM 2 juta kini diiklankan dengan harga RM 76,000! Dah macam harga Perodua Ativa ni.

Disebabkan harga yang terlalu murah atau satu perlapan lebih murah daripada harga asal, maka ramai pembeli berpusu-pusu ingin memiliki Porsche Panamera tersebut. Malah, beratus-ratus bakal pembeli turut meletakkan bayaran pendahuluan semata-mata ingin memiliki kereta mewah itu pada harga yang langsung tak masuk akal. Iyalah, mana nak cari kereta mewah yang mampu hasilkan sehingga 325 kuasa kuda turbocharged V-6 pada harga bawah RM 100,000 kan?

Sumber imej: Porsche.com

 

Tapi betul ke Porsche sanggup jual sebuah Panamera dengan harga yang tersangat murah? Atau sekadar satu gimik pemasaran? Sesekali TIDAK!

Rupa-rupanya, pihak pengedar Porsche AG di China yang buat silap besar dalam menyiarkan iklan dalam talian di bandar utara Yinchuan sehingga membuatkan pihak Porsche sendiri pun terkejut. Macam mana tak terkejut jika kereta Porsche Panamera yang sepatutnya dijual pada harga bermula 998,000 yuan (RM 628,000) telah tersalah letak harga 124,000 yuan (RM 78,000)!
Kata pihak Porsche, pengedar Porsche AG di China tersebut telah melakukan satu kesalahan besar dalam memuat naik maklumat yang mengandungi “kesilapan serius dalam harga runcit yang disenaraikan”.

Sumber imej: livemint.com

Menurut jurucakap pengeluar kereta yang berpengkalan di Stuttgart, Jerman itu lagi, pihak Porsche terus mengeluarkan maklumat yang tidak betul serta-merta sejurus selepas mereka menyedari kesilapan yang memalukan tersebut. Malah pihak mereka juga terpaksa menjawab beberapa pertanyaan daripada pihak Bloomberg tentang isu terbabit.

Bagaimana pula nasib bakal pembeli yang telah membuat tempahan? Porsche telahpun menghubungi kesemua individu yang telah melakukan pembayaran tempahan dan menjelaskan perkara sebenar kepada mereka. Selain meminta maaf, pihak Porsche juga berjanji untuk membayar balik wang tempahan dalam masa 48 jam. Walaupun isu ini sudah selesai, namun nampaknya ramai yang meluahkan kekecewaan mereka di media sosial lebih-lebih lagi di Weibo,  platform media sosial terbesar di China.

Sumber imej: thebeijingcenter.org

 

No comments yet! You be the first to comment.

Your email address will not be published.