Maserati Grecale Dilancarkan Di Malaysia. 530 Kuasa Kuda, Pecut 0-100 KM Dalam 3.8 Saat!

SUV kedua Maserati selepas Levante, Maserati Grecale secara rasminya telah dilancarkan di Malaysia. Jika sebelum ini nama Maserati Mistral, Ghibli, Bora, Khamsin dan Levante adalah sempena nama angin, nama Grecale juga turut diambil sempena nama angin dalam Bahasa Itali iaitu angin Mediterranean timur laut.

Sesuai dengan namanya, SUV mewah dengan 530 kuasa kuda ini sememangnya pantas kerana ia mampu memecut daripada 0 sehingga 100 km/j dalam masa hanya 3.8 saat! Terdapat tiga varian Maserati Grecale varian GT, Modena dan varian tertinggi, Trofeo, yang menggunakan enjin sama seperti MC20, iaitu V6 3.0-liter twin turbo yang mampu menghasilkan kelajuan tertinggi (top speed) sehingga 285 km/j.

UBAH RON95 KEPADA RON98 DENGAN X-1R OCTANE BOOSTER:

Dengan panjang 4,846 mm, 1,670 mm tinggi dan 1,948 mm lebar, Grecale sebenarnya lebih kecil berbanding ‘abangnya’ Levante. Dari segi rekaan luar pula, pada bahagian hadapan bentuknya diinspirasikan oleh Levante selain muncung runcing pula seakan mendapat ‘sentuhan’ MC20. Manakala bahagian belakang pula mempunyai satu garisan panjang di antara dua lampu brek yang diinspirasikan oleh boomerang tail lights pada kereta klasik Maserati 3200 GT (pernah dikeluarkan sekitar tahun 1998 sehingga 2002).

Bagi bahagian dalaman pula, ruang cabin Maserati Grecale Trofeo menggunakan dua skrin (touchscreen) pada bahagian tengah yang mana saiz skrin atas adalah lebih besar iaitu 12.3 inci manakala skrin bawah pula adalah 8.8 inci. Antara perkara lain yang berbeza tentang SUV ini berbanding model Maserati yang sebelumnya adalah ia menggunakan jam digital yang turut menjadi kompas, tanda maklum balas untuk menerima arahan suara (voice command) dan g-force. Perkara lain yang menarik tentang SUV mewah ini ialah sistem audionya yang menggunakan sistem audio daripada Sonus Faber dengan kuasa 1,200W dan 21 pembesar suara.

Jika dilihat ciri-ciri yang terdapat pada Maserati Grecale ini, sememangnya ia bakal menandingi pesaing terdekatnya iaitu Porsche Macan, Jaguar F-Pace, BMW X4M atau juga kepada BMW X3. Namun yang pasti SUV kedua keluaran Maserati ini mampu memukau sesiapa sahaja yang memandang, apatah lagi sesiapa sahaja yang mencuba sendiri untuk pandu uji jentera mewah ini.

Jika anda berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut atau melihat dengan lebih dekat lagi, bolehlah anda layari laman sesawang rasmi mereka atau melalui pengedar rasmi Maserati Malaysia, Naza Italia, di PJ Lot 3, Jalan 51A/221, 46100, Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan ATAU hubungi mereka di +60379568599 sekarang.

No comments yet! You be the first to comment.

Your email address will not be published.