Awas! PDRM Sekarang Sedang Laksanakan ‘Saman Ekor’
Sepanjang memandu di laluan Pantai Timur ke arah Kuala Lumpur, beberapa kali terlihat abang polis sedang bersembunyi di sebalik pokok dan tiang. Patutlah, rupa-rupanya sekarang pihak PDRM sedang giat melaksanakan saman tembak laju atau ‘saman ekor’ terhadap pengguna jalan raya yang memandu melebihi had laju yang ditetapkan.
Operasi itu sebenarnya dilaksanakan bagi mengesan pengguna jalanraya yang suka melakukan kesalahan memandu melebihi had laju mengikut Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Jika disabitkan dengan kesalahan, saman kompaun bernilai RM 300 akan dikenakan!
Menurut Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar, hampir 9,000 pesalah trafik disaman pada hari pertama perlaksanaan saman tembak laju di mana 8,352 adalah kereta, 322 untuk kenderaan perdagangan/perkhidmatan dan 44 untuk motosikal. Beliau turut menjelaskan, tujuan ‘saman ekor’ dilaksanakan adalah untuk memberi peringatan kepada semua pengguna jalanraya di Malaysia supaya mematuhi peraturan lalulintas sekaligus lebih berhati-hati di jalanraya. Ini kerana, memandu melebihi had laju yang ditetapkan merupakan antara punca utama kemalangan jalan raya di Malaysia selepas pemandu gagal mengawal kenderaan dan akhirnya terbabas.
Macam mana nak tahu kita kena ‘saman ekor’ atau tidak? Tunggu sahaja ‘surat cinta’ daripada pihak PDRM sebab setiap pesalah trafik yang melakukan kesalahan memandu melebihi had laju yang ditetapkan akan dikenakan saman serta notis saman K170A akan dipos ke alamat kediaman masing-masing.
P/S: Lepas ni lebih ramai pengguna jalan raya akan buka aplikasi Waze semasa memandu walaupun dah tahu jalan mana yang mereka harus gunakan supaya mereka akan tahu di mana abang polis sedang bersembunyi. Cak!