4 Tips Beli Kereta Pertama. No.3 Selalu Kita Abai

Sumber imej: pexels.com

Jika dahulu kereta bukanlah satu keperluan, namun kini ianya sudah menjadi satu perkara yang wajib dibeli sekiranya mampu. Bukan hanya orang yang sudah bekerja, pelajar universiti yang belum bergaji tetap pun sudah ramai yang memiliki kereta sendiri. Namun, apakah tips penting sebelum membeli kereta, lebih-lebih lagi kereta pertama supaya anda tidak membuat keputusan secara semborono?

1. Harga Kereta Mestilah Kurang Dari Pendapatan Tahunan Anda

Sumber imej: pexels.com

Belilah kereta mengikut kemampuan bukannya nafsu. Sudah ramai pembeli kereta khususnya golongan muda yang tertipu. Paling kurang mereka mahukan kereta dengan logo H walaupun gaji hanya cukup-cukup makan. Jadi, buatlah pilihan bijak dengan mengira jumlah pendapatan tahunan dan cari kereta dengan harga di bawah jumlah pendapatan tahunan anda. Contohnya, gaji bulanan anda ialah RM 3,000 sebulan dan pendapatan tahunan anda ialah RM 36,000. Maka carilah kereta yang harganya RM 36,000 dan ke bawah. Macam Proton Saga 1.3L Standard MT, harga OTR baru RM 34,800. Bukan hanya harganya mampu milik, jumlah bayaran bulanan pun tak sakit.

2. Tahap Pembakaran Minyak

Sumber imej: pexels.com

Sekiranya anda kata daripada beli kereta Proton Saga, lebih baik beli kereta import terpakai dengan harga yang lebih kurang sama. Tapi adakah anda pernah fikir tentang tahap pembakaran minyak kereta import terpakai tersebut? Contohnya jika anda pilih kereta Mercedes Benz E200 K Elegance terpakai tahun 2006 yang berharga RM 30,000. Harga memang murah, tapi kalau kereta dah lebih 10 tahun biasanya minyak memang macam air! Silap haribulan beli kereta tapi akhirnya naik bas sebab minyak mahal.

3. Kos Penyelenggaraan dan Pembaikan

Sumber imej: pexels.com

Antara banyak-banyak perkara, yang nombor 3 ini paling ramai abai. Masa membeli bukan main percaya 100% dengan cakap si penjual kereta. Serba serbi murah tapi lupa untuk selidik sendiri tentang kos penyelenggaraan dan pembaikan kereta tersebut. Ingatlah, semakin ‘rare’ kereta pilihan anda, semakin tinggi kos penyelenggaraannya.

Selain itu, alat gantinya juga mungkin sukar untuk didapati berbanding kereta kebanyakan. Mungkin sebab itulah orang kita lebih suka gunakan kereta jenama Perodua. Sebab alat ganti Perodua memang senang nak dapat.

Kos penyelenggaraan ni meluas tau. Bukan hanya servis sahaja yang anda kena tahu. Malah harga untuk sebiji tayar pun anda kena selidik juga. Kalau gaji RM 3,000 tapi berangan nak sebuah SUV, tolong simpan impian sebab tayar sebuah SUV yang bagus adalah sekitar RM 600. Kalau empat tayar? Dah RM 2400 iaitu kira-kira 80 peratus gaji bulanan anda.

4. Penggunaan Kereta

Sumber imej: pexels.com

Antara faktor paling penting sebelum memilih jenis kereta yang bakal anda beli. Adakah kereta yang akan anda gunakan itu untuk si bujang atau yang sudah berkeluarga? Bagaimana pula dengan tahap penggunaan? Adakah ianya digunakan untuk jarak dekat, jauh, kegunaan harian atau sebagainya? Faktor ini mungkin nampak biasa tapi sekiranya anda membeli kereta yang salah, boleh buat stress dalam jangkamasa panjang. Bayangkan ada anak ramai tapi beli kereta sedan? Carseat untuk anak seorang pun sudah cukup boleh memenuhkan ruang belakang. Apatah lagi kalau ada ahli keluarga yang ramai? Dah macam ikan dalam tin sardin agaknya.

Apa-apa pun yang paling penting, beli ikut bajet dan penggunaan sendiri. Jangan dengar cakap-cakap orang luar atau rasa tercabar dengan hasutan kawan yang suruh kita beli kereta di luar kemampuan. Ingat, yang membayar bulan-bulan itu kita, bukan mereka. Jangan jadi macam sesetengah orang yang hari-hari makan Maggi demi memiliki kereta import di luar kemampuan.

No comments yet! You be the first to comment.

Your email address will not be published.