Wahai Mak Ayah. Jangan Tinggalkan Anak Dalam Kereta!
Beberapa hari yang lepas, tular di media sosial apabila seseorang telah berkongsi di Facebook tentang pengalamannya terserempak dengan dua kanak-kanak kembar yang ditinggalkan oleh ibu bapanya di dalam kereta. Bayangkan kanak-kanak itu ditinggalkan di dalam kereta, dengan enjin kereta dimatikan dan hanya sedikit sahaja ruang tingkap yang dibuka.
Apa yang membuatkan netizen lebih panas hati adalah apabila mengetahui bahawa kedua-dua ibu bapa kanak-kanak tersebut tinggalkan mereka di dalam kereta untuk pergi beraya bersama-sama datuk dan nenek! Ini bukan kes orang dewasa yang tidak matang, tapi jenis yang pentingkan diri sendiri dan cuai dalam menjaga kanak-kanak. Emak, ayah, datuk, nenek sama je perangai.
Nasib baik pada hari kejadian ada insan yang peka dengan nasib malang kanak-kanak itu. Pada mulanya beliau terdengar tangisan kanak-kanak dan sempat memberikan mereka air kotak untuk menenangkan mereka yang dalam keadaan panas dan ketakutan. Lebih 30 minit orang tu menunggu keluarga kanak-kanak ni pergi beraya. Bukan main senang hati mereka beraya tanpa anak-anak yea?
Lagi sakit hati apabila selesai beraya, si ayah datang dengan muka tersengih-sengih dan si ibu pula cuma buat bodoh. Orang macam ni sepatutnya jangan dikesiankan. Buat sahaja laporan kepada pihak polis supaya mereka akan lebih berhati-hati di kemudian hari. Mungkin mereka tidak sedar bahawa kecuaian mereka boleh menyebabkan kematian akibat strok haba!