Isuzu D-Max X-Terrain Sahut Cabaran Off-Road Antarabangsa Borneo Safari
Isuzu D-Maxx X-Terrain kekal tampil memukau tidak kira di jalanraya biasa atau untuk kegunaan yang lebih lasak seperti off-road. Selepas membuktikan mereka gah di persekitaran urban di Minggu Fesyen Kuala Lumpur tahun 2022, kini mereka menyahut cabaran yang lebih lasak dan getir dalam acara off-road antarabangsa Borneo Safari untuk tahun ini. Dalam acara tersebut, sebanyak tiga buah trak pikap ini digunakan sebagai kenderaan rasmi media.
Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Sabah (SFWDA), Haji Faez Nordin, yang menerima trak pikap berkenaan daripada Pengurus Pemasaran Isuzu Malaysia, Alan Lee, berterima kasih atas sokongan berterusan Isuzu terhadap acara seminggu yang dijangka bakal berlangsung pada penghujung Oktober ini, pertama kali selepas pandemik melanda sejak lebih dua tahun lalu. Beliau juga turut berkata bahawa acara sebegini sememangnya memerlukan sokongan yang besar dari segi kewangan dan penggunaan kenderaan yang berkeupayaan seperti Isuzu D-Maxx X-Terrain, maka pihak mereka juga amat berbesar hati kepada Isuzu Malaysia yang membantu dengan Penajaan Platinum sebagai pembekal kenderaan rasmi media.
Acara off-road antarabangsa Borneo Safari ini dijangka akan menempuh laluan yang sangat mencabar khususnya di bahagian kaki Gunung Kinabalu berhampiran Kota Belud, Sabah. Walaupun perjalanan dikelilingi oleh pemandangan indah, namun laluan tersebut adalah sangat sukar untuk ditempuhi dengan permukaan berbatu yang hanya boleh dilalui oleh peserta dan jentera tertentu sahaja. Namun, dengan kehebatan yang dimiliki oleh Isuzu D-Max generasi ketiga X-Terrain ini, mereka percaya bahawa ia bakal menjadi kenderaan off-road paling sesuai, moden dan paling cekap dalam acara tersebut. Sekali gus, Isuzu D-Max X-Terrain kini akan mengikut tradisi panjang untuk berkhidmat sebagai kenderaan rasmi media sepanjang Borneo Safari, yang mana model generasi pertama dan keduanya juga pernah menggalas tanggungjawab itu sebelumnya.
Jadi, sekiranya anda berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang acara Borneo Safari yang akan berlangsung dari 30 Oktober 2022 hingga 6 November 2022 ini, anda boleh ikuti laman Facebook rasmi Isuzu D-Max atau platform media sosial rasmi mereka yang lain. Anda juga mungkin berpeluang untuk memenangi hadiah menarik dalam siri web ‘Tonton & Menang’. Jadi, jangan ketinggalan!