5 Kelemahan Kereta Elektrik (EV)
Umum tahu bahawa kereta elektrik (EV) telah mendapat populariti yang agak ketara beberapa tahun kebelakangan ini. Kononnya, kereta elektrik adalah sebuah mod pengangkutan yang lebih mampan dan lebih bersih terhadap alam sekitar, khususnya untuk memerangi perubahan iklim dan meningkatkan kualiti udara. Walaupun ramai yang memuji tentang kelebihan yang terdapat pada kereta elektrik, sebenarnya ia turut mempunyai kelemahan tersendiri dalam mengubah industri automotif.
1. Jarak Pemanduan Terhad
Sejujurnya, antara salah satu kebimbangan paling utama oleh pemilik kereta elektrik adalah jarak pemanduan yang terhad. Walaupun kemajuan teknologi bateri semakin bagus, namun malangnya ia masih tetap ketinggalan berbanding kemudahan enjin pembakaran kenderaan biasa. Bahkan, setiap perjalanan yang jauh memerlukan pemilik kereta elektrik untuk merancang perjalanan mereka dengan lebih teliti. Selain itu, mereka juga perlu melakukan hentian pengecasan yang lebih kerap yang sememangnya memakan masa dan menyusahkan pemandu. Senang cerita, isi minyak pakai petrol atau diesel lebih jimat masa dan lebih mudah.
2. Infrastruktur Mengecas Terhad
Cabaran kedua yang paling ketara adalah kekurangan infrastruktur pengecasan. Jika di luar negera, khususnya negara maju yang sudah lama mempunyai kereta elektrik seperti Amerika Syarikat atau China, infrastruktur pengecasan mereka mungkin sudah mencukupi. Itupun mungkin untuk bandar utama atau wilayah maju manakala untuk di kawasan luar bandar, penduduk tetap mempunyai akses yang sangat terhad untuk infrastruktur pengecasan.
3. Masa Pengecasan Yang Lama
Tahukah anda masa yang diperlukan untuk mengecas semula kenderaan elektrik adalah lebih lama berbanding isi minyak petrol atau diesel? Walaupun dengan teknologi pengecasan yang lebih pantas, kereta elektrik masih lagi mengambil masa antara 30 minit hingga beberapa jam untuk mencapai pengecasan penuh, bergantung kepada jenis kenderaan dan keupayaan stesen pengecasan. Adakah anda seorang yang penyabar?
4. Kos Pemilikan Mahal
Walaupun kenderaan elektrik dikatakan akan menjadi lebih berpatutan dari semasa ke semasa, sebenarnya harga pembelian awal mereka tetap lebih tinggi daripada kereta biasa. Walaupun secara amnya kereta elektrik mempunyai kos operasi yang lebih rendah kerana elektrik lebih murah berbanding petrol, namun perbelanjaan pendahuluannya jauh lebih mahal termasuk juga teknologi bateri. Di Malaysia contohnya, cuba bagi nama kenderaan elektrik yang mana harga jualannya adalah di bawah RM 100 ribu? Tiada bukan?
5. Kesan Sebenar Pengeluaran dan Pelupusan Bateri Kepada Alam Sekitar
Ramai di kalangan pencinta alam sekitar atau aktivis alam sekitar yang sering mengatakan bahawa kenderaan elektrik adalah lebih bagus untuk kebersihan alam. Namun, sejauh manakah dakwaan mereka itu benar? Lihat sahaja kepada kajian yang dilakukan saintis tentang proses pengeluaran dan pelupusan bateri, memang sangat membimbangkan! Perlombongan dan pengekstrakan bahan mentah yang diperlukan untuk pengeluaran bateri seperti litium, kobalt dan nikel telah jelas memberikan kesan ekologi yang ketara. Selain itu, proses pelupusan juga menimbulkan cabaran daripada segi pengurusan sisa buangan yang betul, infrastruktur kitar semula dan pembebasan bahan toksik.
Jadi, apa pandangan anda? Adakah ia benar-benar selamat atau sekadar satu propaganda untuk menebalkan poket orang tertentu?