
Bila peminat kereta klasik bertemu dengan pencinta haiwan terbiar, maka wujudlah Rentas Perak 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula 24 April hingga 26 April 2025.
Sepanjang tiga hari yang meriah itu, sebanyak 24 kereta klasik berkonvoi di sekitar Perak termasuk di Teluk Intan dan Tanjung Tualang, Istana Kellie (Kellie’s Castle), Manjung, Lenggong, Taiping serta mengharungi pinggir Hutan Royal Belum.

Jika anda rasa konvoi kereta klasik ini hanya sekadar suka-suka atau untuk mengisi masa lapang, anda silap. Ini kerana program ini sebenarnya adalah untuk mengumpul dana bagi PapanSouls, iaitu sebuah NGO yang sangat berdedikasi dalam penjagaan dan perlindungan anjing terbiar. Kata orang, sambil berkonvoi bersama geng kereta klasik yang lain dan menikmati keindahan alam di negeri Perak, para peserta juga mampu beramal. Bagus kan?


Maka tidak hairanlah jika usaha murni mereka turut mendapat penghormatan daripada Orang Besar Jajahan (OBJ) Manjung, dengan jemputan makan tengah hari di kediaman rasmi OBJ. Maka, sudah pasti pengalaman berkonvoi kereta klasik kali ini lebih bermakna, bukan sahaja daripada mengisi masa lapang dan minat semata-mata, namun ia juga mampu menyatukan sebuah komuniti dengan pelbagai warisan, budaya dan bangsa.
Menurut Dr Haridev Menon selaku pengasas kepada Practical Classic Drivers (PCD), Rentas Perak 2025 sebenarnya adalah lebih daripada sekadar perjalanan di jalan raya kerana ia merupakan satu penghormatan kepada para peserta yang begitu cintakan kenderaan klasik. Pada masa yang sama juga, ianya selaras dengan misi membantu PapanSouls yang mana setiap ringggit yang dikumpulkan sepanjang program Rentas Perak 2025 akan disalurkan terus kepada PapanSouls.

Selain itu, penghormatan juga harus diberikan kepada penaja utama program ini iaitu X-1R dan BHP. Untuk pengetahuan, setiap pemandu diberikan rawatan automotif terkenal daripada X-1R dan majoriti peserta mengakui bahawa kenderaan klasik yang dipandu juga terus terasa ringan dan mengaum dengan lebih mantap.

Bayangkan, walaupun kereta yang digunakan adalah kereta klasik yang kebanyakannya sudah berusia lebih 25 tahun, namun X-1R mampu membuatkan prestasi kenderaan menjadi semakin hebat apabila ia mampu mengurangkan haus dan lusuh, meningkatkan kecekapan serta mengekalkan kualiti dengan lebih lama. Iyalah, kalau tak ‘power’ mana mungkin NASA (National Aeronautics and Space Administration) pun memilih X-1R kan? Bahkan sudah lebih 30 tahun NASA bersama X-1R.
