Kajian Mencadangkan Asap Ekzos Kereta Meningkatkan Serangan Jantung
Beberapa kajian utama di seluruh dunia menunjukkan bahawa orang yang tinggal di kawasan yang mempunyai pencemaran udara yang lebih tinggi adalah lebih berisiko untuk menghidapi penyakit jantung atau penyakit kardiovaskular. Bahkan, ramai penyelidik mendapati pencemaran udara yang terhasil daripada asap kenderaan (ekzos dan brek) seperti nitrik oksida (NO) merupakan antara penyumbang utama kepada serangan jantung.
Untuk pengetahuan, nitrik oksida (NO) sebenarnya berasal daripada pembakaran pada suhu yang sangat tinggi, khususnya daripada enjin diesel. Selain itu juga, zarah yang terhasil daripada lelasan (abrasion) brek dan tayar kenderaan juga merupakan faktor kepada pencemaran udara yang sangat berbahaya.
Selain itu juga, kajian turut menunjukkan bahawa individu yang merokok pula kurang terjejas dengan asap yang keluar daripada kenderaan, mungkin disebabkan oleh mereka sudah terbiasa menyedut asap toksik. Malah, kajian daripada Yayasan Jantung British turut mendedahkan bahawa udara kotor daripada kenderaan menyebabkan kadar serangan jantung lebih tinggi antara golongan bukan perokok. Pengarang kajian, Dr Insa de Buhr-Stockburger, daripada Berlin Brandenburg Myocardial Infarction Registry (B2HIR) turut berkata: ‘Ini mungkin menunjukkan bahawa udara buruk sebenarnya boleh menyebabkan serangan jantung kerana perokok yang secara berterusan membiasakan diri dengan bahan pencemar udara kelihatan kurang terjejas oleh bahan pencemar luaran tambahan.’
P/S: Anda semua jangan tersalah fikir bahawa dengan merokok itu boleh kuatkan jantung atau jadi ‘imun’ pada asap pula.