
Gempar apabila Kementerian Pengangkutan (MOT) bakal memperkenalkan peraturan yang lebih ketat bagi kenderaan berat, di mana lori dan bas dilarang untuk menggunakan lorong paling kanan. Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan, sebenarnya peraturan melarang bas dan lori daripada menggunakan lorong paling kanan sudah diwartakan sejak tahun 2015 namun belum dikuat kuasakan lagi.
Menurut beliau lagi, lori dan bas mesti kekal di lorong kiri sahaja dan TIDAK BOLEH memandu laju. Sekiranya mereka ingin memotong, mereka boleh bertukar ke lorong kedua dan kemudian kembali semula ke lorong kiri. Selain itu juga, antara peraturan lain untuk kenderaan berat adalah:
- Pemasangan alat kawalan kelajuan. Bagi lori baharu yang keluar dari kilang harus dipasang dengan alat berkenaan, manakala untuk kenderaan lama pula Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah memberi kebebasan untuk memasangnya sendiri. Tujuan alat ini dipasang adalah untuk mengehadkan kelajuan kenderaan berat pada kadar 80 hingga 90 km/j sahaja.
- Pemasangan alat Sistem Kedudukan Global (GPS).
- Alat pengesan muatan High-Speed-Weigh in Motion (HS-WIM) di 11 lokasi lebuh raya.
- Penambahan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Tapi Kenapa Undang-Undang Ini Hanya Untuk Kenderaan Berat?
Tahukah anda berapa banyak kes kematian disebabkan oleh kenderaan berat? Menurut laporan daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, sebanyak 3,500 kemalangan jalan raya yang membabitkan lori sejak Januari 2019 hingga November 2024 yang mana kesan kemalangan itu telah menyebabkan 1,457 kes kematian, 473 kes kecederaan parah dan 1,076 kecederaan biasa. Manakala untuk bas pula sebanyak 548 kes kemalangan direkodkan yang menyebabkan 153 kes kematian, 120 kes kecederaan parah serta 218 kes kecederaan biasa.
Malah, Sinar Harian melaporkan dari Januari hingga Oktober 2024 sahaja, sebanyak 17,905 kenderaan terlibat dalam kemalangan ngeri yang menyebabkan 5,364 hilang nyawa dan dalam jumlah tersebut, sebanyak 825 lori yang terlibat.
Maka memang YA, kes kemalangan jalan raya yang melibatkan lori mencatatkan jumlah kematian tertinggi!
Jadi adakah anda rasa kebanyakan pemandu lori sebenarnya memandu dengan cuai atau kadang-kala seperti orang yang hilang pedoman? Mungkin. Penulis sendiri pun kerap kali berjumpa dengan kenderaan berat yang dipandu seolah-olah mereka sedang berlumba, atau diikut terlalu rapat di lorong kanan dengan kelajuan tinggi. Sehingga membuatkan saya terfikir, adakah mereka lupa mereka memandu kenderaan berat, bukannya sebuah Koenigsegg Jesko Absolut!
