
Pepatah Melayu kata ‘biar papa asal bergaya’ memang sangat sinonim bagi menggambarkan kehidupan manusia yang sanggup berhabis demi bergaya. Perkara sebegini banyak dapat dilihat di media sosial yang mana ramai yang terlalu mementingkan gaya hidup yang nampak mewah sebagai kayu pengukur kejayaan, walhal realiti sebenarnya jauh berbeza.
Tak percaya? Cuba anda ke kawasan perumahan kos rendah di bandaraya besar. Jangan terkejut jika anda lihat ada antara mereka yang menaiki kereta mewah yang lebih mahal dari harga rumah. Tengok pada gaya kereta memang auto kaya, tapi bila tengok keadaan rumah sangat sedih dengan bangunan lama, lif rosak dan pintu rumah pun kadang-kadang perlu sendal dengan selipar Jepun. Kenapa jadi macam ni? Sebab di Malaysia, kereta bukan sekadar sebuah kenderaan, tapi ia juga sebagai simbol status, kejayaan dan kekayaan seseorang.

Biar Rumah Setinggan, Janji Rim Bercahaya.
Pernah baca luahan jurujual kereta yang kongsikan ramai orang kita yang gaji asas RM 1,800 tapi nak kereta Honda? Bila jurujual syorkan kereta yang jauh lebih murah dan sepadan dengan gaji, dengan selambanya orang tu tolak dengan alasan tidak bergaya? Sebab itu ada kes yang hari-hari makan mee segera tapi rim Honda Civic dia siap 19 inci, wrap matte black dan lampu LED bawah pintu yang keluar logo Honda. Kemain eh?
Rumah Flat Tiada Masalah Asal Boleh Posing Dengan Kereta Mewah Loan 9 Tahun.
Orang kita memang ada sindrom pelik iaitu kalau rumah tak cantik, orang tak nampak. Tapi kalau kereta cantik, boleh update Instagram dan TikTok dengan caption motivasi palsu: ‘Another achievement unlocked! Proud of myself” sambil pegang stereng BMW loan 9 tahun. Terasa? Malas nak cakap.

Loan 9 Tahun Untuk Kepuasan 9 Saat? Wujud!
Ironinya, ramai antara kita yang beli kereta di luar kemampuan bukan sebab keperluan, tapi sekadar nak menunjuk atau impress orang luar yang sebenarnya tak peduli langsung pun. Perangai nak impress orang yang entah siapa-siapa tu memang banyak, bahkan boleh mengalahkan artis tersohor yang ada berjuta peminat. Kalau boleh bawa balik kereta mewah tunjuk kat orang kampung pun dah puas hati. Sekurang-kurangnya kalau ada orang kampung tanya boleh sembang kan? “Saya tiada Ijazah tapi sekurang-kurangnya mampu memiliki sebuah Audi.” Cewah!
Jadi, kepada yang tengah terfikir nak beli kereta baru walaupun duit tak cukup, tolong fikirkan semula. Jangan sampai kereta sahaja yang mewah tapi realitinya nak makan pun sampai bercatu. Kadang-kadang, orang yang betul-betul kaya ni pakai kasut pun jenama Asadi dan naik kereta Perodua Myvi je, tapi bila tengok jam tangan rupanya dia pakai Patek Philippe Nautilus yang harganya boleh mencecah RM 550K ke atas. Lagipun, zaman sekarang orang dah boleh bezakan orang yang betul-betul kaya atau yang berlagak kaya, biar papa asal bergaya. Yang penting, akaun bank yang gemuk, bukan kereta yang gemuk.
