PANDU UJI: Suzuki Jimny – Memang Terbaik Untuk Kaki Off-Road
Terima kasih kepada Naza Eastern Motors Sdn Bhd, selaku pengedar rasmi Suzuki Malaysia kerana memberikan kami peluang untuk pandu uji dan ‘lenjan’ kereta Suzuki Jimny Generasi Ke-4!
Setiap kali memandu kereta Suzuki Jimny Generasi Ke-4 ini, sesekali akan terasa seperti diperhatikan. Mungkin juga kerana bentuk keretanya yang unik serta jarang dilihat di jalan Malaysia, atau juga kerana pemandunya adalah wanita walaupun kebiasaannya kereta jenisi ini disukai oleh kaum lelaki (khususnya kaki off-road).
Umum sudah tahu bahawa kereta Suzuki Jimny ini memang terkenal di kalangan mereka yang sukakan pemanduan lasak, sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 1970-an dahulu (generasi pertama). Kemudian, generasi kedua menyusul sekitar tahun 1981 dan generasi ketiga pula adalah yang paling lama berada di pasaran, iaitu bermula dari tahun 1998 sehingga tahun 2018.
Untuk generasi keempat, bentuknya kelihatan lebih elegan dan moden tetapi masih mengekalkan ciri-ciri sebuah Jimny sama seperti generasi terdahulu. Walaupun kecil, tapi jangan pernah pandang rendah tentang kelasakan kereta ini. Jika jalan berliku, berlumpur dan laluan sempit, kereta ini mesti menjadi pilihan anda!
Jika dilihat pada bentuk dalaman pula sangat ringkas dengan dashboard yang kecil, stereng yang ditutup dengan material daripada kulit serta kerusi kereta yang menggunakan material fabrik. Walaupun ringkas, tetapi rekaannya sangat menarik. Antara benda lain yang boleh dipuji tentang kereta ini ialah sesuatu yang amat disukai oleh semua rakyat Malaysia, iaitu aircond yang sangat cepat sejuk! Memang sangat sesuai untuk suhu panas di Malaysia ni. Infotainment pula sesekali kelihatan sama seperti yang digunakan pada Suzuki Swift Sport 2021.
Penulis juga sempat ‘test’ sendiri keupayaan kereta ini di jalan biasa (dalam bandar) dan juga off-road. Memang tidak mengecewakan langsung! Jika dalam bandar, pemanduannya sangat sesuai bagi seseorang yang santai, mungkin juga kerana kuasa kuda yang dihasilkan juga tidak tinggi iaitu sekitar 100 HP dan 130 Nm tork. Dari segi visibility pula memang terbaik, seakan tiada blind spot. Lagi satu, kereta ini memang agak jimat minyak sebab penggunaan minyak cuma sekitar 6.8 liter bagi setiap 100 kilometer.
Bagaimana pula tentang keupayaan kereta ini semasa off road? Sudah tentu sama hebat seperti generasi terdahulu. Walaupun dengan tayar kecil (15” alloy rims) tetapi ia mampu mendaki tanah berlumpur, berbatu serta berbukit tanpa sebarang masalah. Kuasa penyerapan kereta juga memang sangat padu kerana walaupun melalui jalan yang agak ‘tajam dan keras’, pemandu dan juga penumpang masih lagi terasa selesa!
Bagaimana pula dengan harga? Kereta Suzuki Jimny generasi keempat ini dijual pada harga RM 168,900 (OTR tanpa insurans) dan sekiranya anda inginkan warna yang lebih menyerlah seperti Kinetic Yellow dan Bluish Black Pearl 3, anda cuma perlu menambah RM 2,500. Sekiranya anda ingin melihat sendiri kereta hebat ini, apa kata anda terus ke showroomm Suzuki Malaysia di Naza Eastern Motors Sdn Bhd di Naza World Automall (Petaling Jaya) sekarang! Sekali pandang mesti jatuh hati lah!