Pandu Uji Audi Q3 Sportback S-Line Ke Ipoh. SUV Terpaling Menarik Perhatian

Jika anda adalah peminat SUV yang inginkan kelainan serta sebuah SUV yang betul-betul sporty, kami sarankan untuk anda turut ‘intai’ Audi Q3 Sportback S-Line. Apa yang kami boleh katakan, sangat jarang untuk melihat model ini di jalanraya Malaysia sehinggakan kami dapat rasa seperti ada mata yang memerhati dan tertarik dengan model ini dari jauh. Kena pula dengan warna Turbo-Blue, memang nampak muda, sporty dan tegap.

Bermula dari rekaan luaran, grilnya besar dan berwarna hitam serta mempunyai bentuk seakan sarang lebah (honeycomb). Bentuk lampu DRL pula agak tirus dan menyerlahkan rupa garang. Menariknya, dari bahagian sisi pula, kita dapat lihat seakan Audi Q3 Sportback ini adalah kombinasi sebuah SUV dan juga sebuah Coupe. Manakala bahagian belakang pula ruang bumbung agak mencerun ke bawah dan bumper belakang menampilkan warna hitam sehinggakan beberapa bahagian belakang Audi Q3 kelihatan menonjol dan lebih menarik.

RUANG DALAMAN
Apabila kami melangkah masuk sahaja ke dalam ruang dalaman Audi Q3 Sportback, kami dapat lihat ruang kokpit kelihatan moden dan elegan dengan menggunakan warna hitam dan kelabu di hampir setiap sudut disertakan dengan tempat duduk bersalut kulit. Sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 10.25 inci pula sangat mesra pengguna dan senang untuk digunakan samada untuk Android Auto atau Apple Carplay. Untuk saiz ruang dalaman pula, cukup selesa untuk si bujang atau dengan keluarga kecil. Namun bagi mereka yang mempunyai anak kecil dan perlu memasang carseat, ruang belakang kelihatan agak sendat tapi masih selesa.

PANDU UJI KE IPOH

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh dengan menaiki Audi Q3 Sportback S-Line memberikan satu pengalaman yang sangat mengujakan. Di saat enjin dihidupkan, deruman enjin sangat lembut namun jangan sangka yang kereta ini manja. Sebab walaupun menggunakan enjin 2.0 tetapi kadar responsifnya sangat pantas dan terus melonjak di saat diperlukan. Bayangkan apabila kami berada di laluan lebuhraya yang agak sesak dan pernah berlaku kecemasan di mana kereta di laluan paling kanan berhenti secara tiba-tiba, kereta ini sangat pantas dalam memberikan bantuan pemberhentian kecemasan dan juga apabila kami perlu menukar lorong dengan segera, kadar responsifnya terbaik!

Mungkin ada yang memberikan komen bahawa suspensi kereta Audi Q3 Sportback S-Line ini keras. Namun selepas kami pandu uji sendiri kereta ini, sebenarnya suspensi kereta ini agak lembut dan tahap penyerapan juga sangat bagus sehinggakan walaupun melalui jalan yang berliku, berlubang dengan bampar yang tinggi sekalipun pemandu dan penumpang masih selesa berbanding sesetengah SUV yang membuatkan penumpang ‘melompat’ di belakang.

Antara perkara lain yang sangat bagus tentang kereta Audi Q3 Sportback S-Line adalah tahap penjimatan bahan apinya. Dengan satu tangki penuh, kami memulakan perjalanan dari Kuala Lumpur dan pusing bandar Ipoh sebelum pulang semula ke Kuala Lumpur dan jarak keseluruhan sudah pun melebihi 500 kilometer. Namun menariknya selepas tiba sahaja di Kuala Lumpur, masih ada tiga bar. Sangat jimat untuk kereta saiz ini bukan? Mungkin juga kami dapat lebih penjimatan apabila menggunakan mod pemanduan berbeza yang terdapat dalam kereta ini mengikut jenis pemanduan dan keadaan jalan? Contohnya dalam kawasan bandar, kami akan gunakan mod Efficiency dan selebihnya kami akan menggunakan mod Comfort sahaja.

Secara kesimpulannya, Audi Q3 Sportback S-Line adalah sebuah SUV yang menarik perhatian. Pasti sesiapa yang melihatnya di jalanraya khususnya di Malaysia akan cuba untuk menoleh buat kali kedua kerana model ini sangat jarang ditemui. Jadi, bagi anda yang berkemampuan (OTR – RM 360,423.60) dan sedang mencari sebuah SUV yang nyata menarik perhatian, bolehlah anda cuba lihat dan pandu uji sendiri Audi Q3 Sportback S-Line. Kami yakin anda akan berpuas hati!

No comments yet! You be the first to comment.

Your email address will not be published.