Banyak Syarikat Pengeluar Kenderaan ‘Lari’ Dari Rusia

Tanggal 24 Februari 2022, Rusia telah menceroboh negara jirannya Ukraine dan menjadikan serangan ini sebagai serangan terbesar antara satu negara terhadap negara lain di Eropah sejak Perang Dunia Kedua. Daripada serangan ini juga, banyak syarikat yang menghentikan operasi mereka di Rusia serta-merta berikutan sekatan pihak Barat terhadap Rusia. Ini termasuk beberapa syarikat pengeluar kenderaan yang membuat keputusan untuk menggantung atau menghentikan perniagaan dan operasi mereka di negara tersebut.

Antara syarikat pengeluar kenderaan yang menggantung operasi perniagaan mereka di Rusia ialah General Motors Co. Dalam satu kenyataan oleh pihak GM, “Pemikiran kami adalah bersama dengan rakyat Ukraine pada masa ini.” Selain GM, pengeluar kereta Sweden iaitu Volvo Cars juga akan menggantung penghantaran kereta ke pasaran Rusia sehingga diberitahu kelak.

Selain GM dan Volvo Cars, pihak Volkswagen juga turut membuat pendekatan yang sama di mana mereka akan menggantung sementara penghantaran kereta ke negara Rusia sehingga sekatan yang dikenakan oleh Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat ke atas negara Rusia ditarik balik. Tambahan pula, pihak VW juga terpaksa menghentikan operasi pengeluaran selama beberapa hari di kilang mereka di Jerman, berikutan kelewatan untuk mendapatkan alat ganti mereka yang dibuat di negara Ukraine.

Selain daripada syarikat kenderaan di atas, antara syarikat pengeluar lain yang berkemungkinan akan melakukan perkara yang sama ialah Daimler Truck, Mercedes-Benz Group, AB Volvo dan Toyota Motor Corp. Cuma satu sahaja syarikat pengeluar kenderaan yang masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi, iaitu Ford yang mana mereka memiliki 50% kepentingan dalam tiga buah kilang di Rusia.
