McLaren Elva Roadster. Cuma Ada 149 Unit Di Dunia Dan Harga Bermula RM 8.1 Juta
McLaren Kuala Lumpur baru sahaja memperkenalkan model McLaren Elva yang sememangnya termasuk dalam kategori kereta ‘rare’. Ini kerana hanya 149 unit McLaren Elva yang berada di pasaran di seluruh dunia. Jadi, sudah tentu kemunculan model ini di bumi Malaysia memang sesuatu yang sangat penting, bermakna dan harus dihargai oleh semua peminat kereta di Malaysia.
Dengan harga bermula RM 8.1 juta, sudah tentu sesiapa sahaja yang mampu membeli model ini bukan calang-calang orangnya. Namun, walaupun anda rasa anda kaya dan layak memiliki model ini, jangan terkejut jika sebenarnya pihak McLaren yang akan menentukan siapa yang sebenarnya betul-betul layak untuk memiliki model McLaren Elva ini.
Apa yang terlalu unik tentang McLaren Elva? Sebenarnya model ini dihasilkan sebagai satu penghargaan kepada McLaren Elva Mk1 yang dihasilkan pada tahun 1960-an. Walaupun pada asalnya mereka ingin membina sebanyak 399 unit model McLaren Elva, namun akhirnya hanya 149 unit sahaja yang dihasilkan untuk pasaran di seluruh dunia.
Dengan enjin kuasa tinggi V8 pengecas turbo berkembar, enjin model McLaren Elva adalah sama seperti yang terdapat pada Senna dan Senna GTR. Ia mampu menghasilkan 802 kuasa kuda dan 800 Nm tork dan kadar pecutan dari 0 sehingga 100 km/j adalah hanya dalam masa di bawah 3 saat (2.8 saat) dan dari 0 sehingga 200 km/j dalam masa 6.7 saat sahaja. Wow! Mengikut laporan Robbreport.com, top speed bagi model ini adalah sekitar 203 mph atau bersamaan dengan 326 km/j.