Youtuber Terkenal Mr Beast Bagi Kereta Kepada Pelayan Sebagai Tip

Siapa yang tidak kenal Jimmy Donaldson aka Mr Beast antara Youtuber paling tersohor dengan jumlah 139 juta pengikut di YouTube? Turut memiliki beberapa saluran YouTube termasuk MrBeast Gaming, Beast Reacts, MrBeast 2 dan Beast Philanthropy, jejaka yang baru sahaja berusia 25 tahun ini sudah mampu menjana lebih AS$3 juta (RM 13.28 juta) sebulan dan pernah menjadi Youtuber dengan pendapatan tertinggi di dunia.
Terbaru, nama Mr Beast sekali lagi menjadi bualan ramai apabila beliau telah memuat naik video terbaharunya menerusi TikTok yang mana beliau telah menghadiahkan sebuah kereta sedan kepada seorang pelayan restoran sebagai tip.

Dalam video tersebut, Mr Beast bertanya kepada pelayan bernama Amy tentang tip yang paling banyak Amy pernah terima dalam hidupnya. Selepas itu, Amy menjawab bahawa tip terbanyak yang pernah diterimanya adalah sebanyak AS$50 (RM 220). Kemudian Mr Beast sekali lagi bertanya kepada Amy jika ada sesiapa yang pernah memberikan tip kepada pelayan dalam bentuk sebuah kereta sambil menghulurkan kunci kereta kepada Amy.
Terkejut dengan pemberian daripada Mr Beast, Amy dilihat menangis kegembiraan dan turut mengatakan bahawa dia sangat teruja walaupun Amy sebenarnya tidak tahu cara memandu kereta. Kemudian Mr Beast membawa Amy keluar daripada restoran dan menunjukkan kereta pemberiannya iaitu sebuah Toyota sedan berwarna hitam yang mana kereta itu telah ditampal dengan grafik yang mengiklankan usaha niaga bar coklat terbaharu Mr Beast, Feastables.


Kini, video itu telah menerima lebih 50 juta tontonan di TikTok dan telah mendapat pelbagai reaksi daripada penonton. Ada yang memuji namun ramai juga yang tidak puas hati dan menuduh Mr Beast hanya memberikan kereta itu kepada Amy sebagai salah satu gimik pemasaran coklat Feastables. Ini kerana kereta yang diberikan itu cukup sarat dengan tampalan dan logo Feastables, bahkan pada bahagian dalaman pula terdapat logo untuk saluran YouTube Mr Beast yang mempunyai 139 juta pelanggan yang dicetak pada hud.
Apa pula pandangan anda? Adakah ianya sekadar gimik pemasaran atau Mr Beast memang seorang yang pemurah hati?