Walaupun Harga Kereta Naik Tapi Jualan Kereta di Malaysia Melonjak Juga Dalam Januari 2023
Pada penghujung tahun 2022, laporan mengatakan bahawa jualan kenderaan bagi tahun 2023 berkemungkinan akan terjejas disebabkan oleh kenaikan kadar faedah dan juga ekonomi yang tidak menentu. Namun, lain pula yang terjadi kerana laporan pada awal tahun 2023 pula mengatakan bahawa jualan kereta pada bulan Januari 2023 sahaja sudah cukup memberangsangkan. Malah meningkat naik sehingga hampir 20 % berbanding tahun lepas.
Jadi, adakah harga kereta yang meningkat naik tidak menjejaskan kredibiliti rakyat untuk membeli? Jika melihat kepada laporan dan jumlah jualan, nampaknya peningkatan harga kereta tidak langsung memberi kesan kepada kuasa pembeli kebanyakan rakyat Malaysia. Iyalah, harga kereta naik macam mana pun jumlah jualan kereta masih tetap melonjak naik.
Baru-baru ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah diminta untuk menyatakan langkah kerajaan dalam mengurangkan harga kenderaan semasa. Namun, mengikut kata Menteri MITI, iaitu Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, harga kenderaan tidak dikawal oleh kerajaan. Katanya lagi, harga kenderaan dipengaruhi oleh kos seperti komponen, pengangkutan, tenaga kerja, teknologi dan juga kadar tukaran wang asing. Bayangkan kalau harga kereta diturunkan? Mungkin lebih ramai yang akan membeli kereta baru agaknya.
Atau adakah kerajaan bakal perkenalkan Kereta Rahmah pula? Takkan Menu Rahmah je kot.