Tol Percuma Sempena Aidilfitri 2022
Berita baik buat semua rakyat Malaysia yang nak pulang berhari raya tahun ni kerana Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk memberikan tol percuma dan diskaun tol kepada Keluarga Malaysia! Secara keseluruhannya, tol percuma dan diskaun tol itu bakal melibatkan sehingga 30 lebuh raya di seluruh negara, dengan jumlah keseluruhan diskaun sebanyak RM 77.11 juta.
Antara tol yang terlibat ialah lebuhraya milik Anih Berhad (ANIH) yang menghubungkan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang menghubungkan Lebuhraya Utara-Selatan. Selain itu, tol percuma dan diskaun tol ini juga akan bermula pada jam 12 tengah malam bermula 30 April 2022 (Sabtu) sehingga jam 11.59 malam pada 1 Mei 2022 (Ahad) untuk semua kelas kenderaan. Pemberian tol percuma di LPT dan Lebuhyaya Utara–Selatan juga akan sekali lagi diberikan bermula 12 tengah malam pada 7 Mei 2022 (Sabtu) sehingga jam 11.59 malam 8 Mei 2022 (Ahad) untuk semua kelas kenderaan.
Namun bagaimana pula dengan tol di lebuhraya lain? Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob juga mengumumkan bahawa lebuhraya lain di seluruh negara akan diberikan diskaun tol antara 30 sehingga 50 peratus pada masa dan tarikh yang sama untuk semua kelas kenderaan. Beliau berharap semoga pemberian tol percuma dan diskaun tol ini mampu mengurangkan beban pengguna lebuhraya lebih-lebih lagi bagi mereka yang berpendapatan rendah dan masih terkesan dengan impak pandemik Covid-19.