Suami Isteri Saman Platform Jual Beli Online Sebab Terbeli Kereta Curi
Siapa yang pernah menonton filem Senario Lagi (2000) arahan Aziz M. Osman mesti akan ingat tentang jalan ceritanya yang mana rancangan melancong ke Cherating oleh sepasang suami isteri jadi kucar-kacir akibat terbeli sebuah kereta curi? Baru-baru ini, satu kejadian yang seakan sama terjadi dalam di mana sepasang suami isteri telah terbeli kereta yang didakwa dicuri melalui satu laman web jual beli kereta terpakai popular di Malaysia sekitar November 2020.
Akibat terpaksa menanggung banyak masalah dan kerugian, akhirnya pasangan tersebut, Mohd Zulikram dan isterinya, Nor Saidatul, telah memfailkan saman cuai ke atas platform jual beli kereta tersebut selain turut menamakan Maybank Islamic Berhad sebagai defendan. Jumlah tuntutan ganti rugi pula ialah sebanyak RM100,000 daripada Carsome selain menuntut supaya perjanjian jual beli dengan Maybank Islamic dibatalkan, serta mendapat kembali yuran tempahan, pembayaran untuk tempoh dua bulan dan deposit yang dilakukan sebelum ini.
Mengikut kronologi kejadian, pasangan itu melihat kereta itu diiklankan di laman web Carsome pada harga RM103,697.11 sebelum bersetuju untuk membelinya. Namun, pada Februari 2021, mereka mendapat panggilan daripada pihak polis yang memaklumkan bahawa kereta yang mereka miliki itu mungkin kereta yang dicuri sebelum disita untuk ujian oleh Jabatan Kimia. Tidak lama selepas itu, Zulikram menerima sepucuk surat daripada pihak insurans yang mana mereka mengatakan bahawa pemilik asal kereta itu pernah memfailkan tuntutan total loss sekitar tahun 2018.
Bila dah jadi kes mahkamah, maka masing-masing tidak akan mengaku bersalah. Zulikram mendakwa pihak Carsome cuai sebab tak periksa dahulu samada kereta itu betul atau dicuri sebelum diiklankan. Pihak Carsome pula menegaskan pihak mereka hanya bergantung pada laporan Puspakom. Pihak Maybank pula menegaskan bahawa mereka tak tahu chasis kereta telah diubah, maka mereka tidak terlibat dalam apa-apa aktiviti haram. Kes tuding jari ni memang persis dalam filem Senario Lagi tu dah. Jadi, siapa yang salah? Biar mahkamah yang tentukan.