Wow! Pada 16 May 2024, saya ada menulis tentang Seludup Petrol di Kelantan, taktik mereka akhirnya terbongkar apabila kerap kali kelihatan kereta Proton Waja mengisi minyak petrol dan kemudian akan memasuki dan menghantar bekalan ke Thailand. Mereka juga menggunakan lebih daripada 30 buah Proton Waja bagi sindiket ini kerana tangkinya yang besar. Di fahamkan juga mereka melakukan 3 trip dalam sehari.
Tak sangka ya, lebih sebulan sahaja keadaan ini sunyi sepi, hari ini agak terkejut kerana masih ada lagi yang berani untuk melakukan sindiket ini semula. Kali ini mereka menyeludup RON95 menggunakan kereta Proton Waja dan tidak kurang juga ada kenderaan pacuan empat roda termasuk Pajero dan Hilux juga kelihatan membuat pengisian petrol RON95.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail ketika dihubungi memaklumkan jualan diesel di sempadan mengalami pengurangan manakala petrol pula berlaku peningkatan. Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak mempunyai data yang tepat memandangkan pelaksanaan penyasaran subsidi baru bermula dan jumlah pengurangan serta peningkatan itu akan diperoleh akhir bulan ini.
Kelmarin, media melaporkan, jualan diesel di sempadan menunjukkan penurunan 40 peratus sejak kerajaan mengumumkan pengapungan harga subsidi diesel, sekali gus mengesahkan memang wujud aktiviti penyeludupan diesel ke negara sempadan sebelum ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah penyasaran subsidi bermula 10 Jun lalu menyaksikan jumlah jualan runcit diesel di stesen minyak menurun hampir lapan juta liter sehari atau 30 peratus untuk minggu pertama selepas pengumuman penetapan semula harga diesel, berbanding minggu sebelum pengumuman.