Selepas Nissan, Kini Mercedes Dan Ford Juga Sah Keluar Dari Pasaran Rusia
Selepas Nissan, kini Mercedes dan juga Ford telah mengumumkan bahawa mereka telah memutuskan untuk keluar terus dari pasaran Rusia selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine sejak Februari 2022 lalu. Bagi pihak Nissan yang mengumumkan berita itu pada tengah bulan Oktober 2022, mereka sebenarnya telah mula menubuhkan kilang di St Petersburg sekitar tahun 2009. Namun kini semua operasi tempatan di bawah Nissan Manufacturing Russia LLC akan dijual kepada pihak NAMI (automotive institute Russia). Selain itu juga, mereka turut akan membayar pampasan 12 bulan gaji kepada semua pekerja di Rusia yang terkesan.
Tidak lama selepas Nissan mengumumkan pengeluaran dari pasaran Rusia, pihak Mercedes turut mengambil langkah yang sama selepas syarikat pengeluar kereta mewah dari Jerman itu menghentikan pembuatan dan eksport ke Rusia. Bagi pihak Mercedes pula, mereka akan mejual semua saham dan anak syarikatnya kepada pelabur tempatan, khususnya kepada Avtodom. Kesan daripada pencerobohan Rusia ke atas negara Ukraine telah menyebabkan hanya kurang 10 ribu kenderaan Mercedes yang terjual di Rusia bermula Januari hingga September 2022, atau bersamaan dengan lebih 70 peratus penurunan jumlah jualan berbandinga tahun sebelumnya.
Akhirnya, bagi pihak Ford pula, mereka juga turut mengumumkan pengunduran mereka dari Rusia selepas tujuh bulan hiatus. Ford dikatakan telah menjual sebanyak 49 peratus kepentingannya dalam usahasama Sollers Ford. Selain daripada menghentikan pembuatan kenderaan Ford di Rusia, mereka juga akan turut menghentikan pembekalan alat ganti, sokongan IT dan kejuruteraan di Rusia. Walaupun Ford merupakan antara pengeluar bukan domestik paling laris di Rusia, namun mereka tetap mengambil langkah untuk ‘angkat kaki’ sementara menunggu situasi global berubah.