Saham Tesla Jatuh. Kini Elon Musk ‘Miskin’ Sikit Daripada Jeff Bezos

Mengikut Forbes, selepas enam minggu menjadi manusia terkaya di dunia, billionaire Tesla, iaitu Elon Musk, kini ‘jatuh miskin’ sebanyak AS$ 6 bilion (RM 24.6 bilion) di belakang pesaingnya, Jeff Bezos yang juga CEO kepada Amazon.

Beberapa hari lepas, kekayaan milik Musk dikatakan jatuh sehingga hampir AS$ 14 bilion (RM 57.4 bilion) sehari, berikutan saham syarikat Tesla yang turun mendadak sehingga 8 peratus. Akibat saham Tesla Inc. merosot, kekayaan Musk kini menurun kepada AS$ 176.2 bilion (RM 722.42 bilion) manakala kekayaan Bezos pula kekal pada AS$182.1 bilion (RM 746.64 bilion).

Jika kita lihat balik, kekayaan Musk meningkat sekitar AS$150 bilion (RM 615 bilion) sejak bulan Mac 2020 apabila didorong oleh harga saham Tesla yang meroket naik pada ketika itu. Tahun 2020 merupakan antara tahun terbaik syarikat Tesla apabila mereka berjaya menjadi antara syarikat pembuat kereta paling berharga di dunia dan mampu menghasilkan lebih setengah juta kereta pada tahun itu. Prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh syarikat Tesla juga berjaya membantu stok Tesla untuk melonjak naik sehingga lebih dari 720% pada tahun 2020.
Mungkin mendapat gelaran sebagai manusia kedua terkaya di dunia buat masa sekarang agak menyakitkan bagi Musk, namun sekurang-kurangnya dia masih lagi AS$20 bilion (RM 82 bilion) lebih kaya dari manusia ketiga terkaya dunia, iaitu hartawan mewah dari Perancis, Bernard Arnault, CEO kepada LVMH Moet Hennessy – Louis Vuitton.
