Ramai Pengusaha Bengkel Automotif Bakal Bankrap?
Saban hari semakin ramai rakyat yang merayu agar pihak tertentu dapat mendengar rintihan mereka sepanjang melawan arus Covid-19. Kalau dulu individu yang terdesak boleh angkat bendera putih sebagai simbolik meminta bantuan, namun bagaimana pula dengan para usahawan? Mereka lagi parah kerana perniagaan terpaksa tutup, tetapi masih tetap kena bayar sewa premis dan gaji pekerja. Ini termasuk juga usahawan industri automotif, khususnya pemilik bengkel.
Mungkin sudah banyak kelonggaran yang diberikan oleh pihak kerajaan dalam membantu usahawan negara untuk memulihkan ekonomi masing-masing. Namun malangnya ia tidak cukup untuk menampung kerugian yang terpaksa ditanggung selepas pandemik Covid-19 yang semakin hari semakin mengganas. Buat la apa sahaja, dari PKP, PKPB, PKPD, PKPP, PPN namun keputusannya tetap sama. Kes meningkat, ekonomi jatuh dan usahawan gulung tikar?
Mana tak gulung tikar jika masalah ini sudah berlarutan selama lebih setahun. Memang betul pihak bank ada menawarkan moratorium kepada pemilik premis. Tapi perlu diingatkan, bukan semua pemilik premis melanjutkan fasiliti itu kepada penyewa. Lagi teruk, pengusaha bengkel yang teraniaya kerana perlu membayar sewa bulanan seperti biasa sedangkan perniagaan mereka sekejap buka, sekejap tutup.
Andai kata pengusaha bengkel perlu berpindah, ianya juga turut memerlukan kos. Ini bukan warung tepi jalan yang buka payung tu. Boleh suka-suka hati pindah mana-mana lokasi yang mereka nak. Kita bukan bercakap tentang seorang individu, tetapi melibatkan puluhan ribu pemillik bengkel di seluruh Malaysia. Diharap pihak berwajib tampil untuk membela nasib mereka. Dengan slogan kita jaga kita, sepatutnya pihak berwajib pun turut bersatu membantu masalah ekonomi rakyat.
P/S: Jangan hanya kalut nak rebut kuasa dan kerusi andai masalah rakyat pun tak peduli.