PROTON PERSONA PREMIUM. SEDAN B-SEGMENT DENGAN HARGA PALING BERPATUTAN DI PASARAN MALAYSIA
Proton Persona diperkenalkan kepada pasaran tempatan pada tahun 2007 sebagai pengganti kepada Proton Wira dan pada tahun 2012 pula, ia dikenali sebagai alternatif kos rendah kepada Proton Preve. Walaupun model terawal sebelum ini mendapat jolokan nama ‘Proton Lipas’ di kalangan sesetengah rakyat Malaysia namun kini ternyata model ini berjaya bertahan di pasaran Malaysia selain menjadi sedan B-Segment yang paling laris bagi Proton.
Kenapa? Wajib baca sampai habis.
Rekaan Yang Lebih Elegan.
Dari segi luaran, rekaan model Proton Persona sangat berbeza dengan model sebelum ini. Anda boleh lihat terdapat banyak perubahan antaranya lampu hadapan yang menggunakan LED, gril hadapan yang menggunakan rekaan infinite weave, saiz rim yang dinaiktaraf kepada 16 inci selain warna bumbung dengan kemasan hitam yang menonjolkan sedikit elemen sporti.
Bagi bahagian dalaman pula, varian premium ini kelihatan lebih mewah dan luas dengan menggunakan kulit leatherette yang berwarna coklat kemerahan. Sekilas pandang, rekaan dalamannya ada sedikit sentuhan dari model Proton X70. Sangat ringkas, namun tetap nampak elegan di mata kami. Ruang but juga agak luas iaitu sekitar 510 liter. Jadi untuk keluarga bersaiz sedan memang sesuai sangat. Nak balik kampung pun tiada masalah ruang sempit.
Skrin infotainment pula didatangkan dengan saiz 8 inci dan yang penting varian premium ini mempunyai fungsi voice command. Jadi bolehlah kita cakap “Hai Proton!”
Harga Yang Berpatutan – Bawah RM 60,000 Bagi Varian Premium!
Bagaimana pula dengan harga? Jika kita membandingkan harga Proton Persona dengan pesaing terdekat dalam kategori sedan segmen B, sudah tentu harganya adalah yang paling berpatutan! Bermula daripada varian Standard (RM 47K), Executive (RM 52K) dan Premium (RM 58K), ternyata harga yang ditawarkan adalah sangat berpatutan. Malah, anggaran bulanan pula adalah sekitar RM 500 – RM 650. Memang kena sangat untuk mereka yang berpendapatan RM 3,500 dan kebawah. Mana lagi nak dapat kereta yang ada enam beg udara dan pengiktirafan 5-bintang dalam ujian perlanggaran ASEAN NCAP pada harga bawah RM 60,000? Terbaik PROTON!
Pandu Uji – Sedap Dibawa Dan Selesa Untuk Keluarga.
Dengan menggunakan enjin 1.6-liter Campro VVT, Proton Persona sebenarnya mampu menghasilkan sehingga 109 PS dan 150 Nm tork. Walaupun dipandu pada halaju sekitar 80km/j hingga 110 km/j, Proton Persona nyata sedap dibawa, sangat responsif dan selesa walaupun untuk perjalanan jauh atau lama. Kami juga melakukan perbandingan di antara pemanduan dalam bandar yang sesak dan pemanduan di lebuh raya yang santai dan ternyata Proton Persona ini responsif walau dalam apa jua jenis pemanduan.
Sepanjang merentasi laluan sesak ketika cuti Tahun Baru Cina sekalipun, kami masih berasa selesa selain turut memuji kadar Noise, Vibration & Harshness (NVH) di dalam kabin yang lebih senyap.
Antara perkara lain yang membuatkan kami suka memandu Proton Persona adalah sebab ternyata Proton masih lagi padu dari segi kualiti pendingin hawanya. Memang mudah sejuk dan kena sangat dengan suhu negara Malaysia. Kalau parking di kawasan terbuka sekalipun, sekejap sahaja ruang dalam kereta dah sejuk.
Kesimpulannya, jika anda adalah golongan yang bercitarasa T20, mungkin anda tidak akan meletakkan Proton Persona sebagai antara kereta idaman. Namun bagi mereka yang bergaji bawah RM 4,000 yang inginkan kereta sedan B Segmen varian premium pada harga bawah RM 60,000 makan Proton Persona adalah jawapannya. Kalau nak tahu dengan lebih lanjut atau dapat nasihat kereta Proton mana yang sesuai untuk anda dan keluarga, sila layari laman sesawang rasmi Proton di https://www.proton.com/ sekarang!