Porsche Boxster 986. Pesona Abadi Yang Klasik Dan Unggul

Porsche merupakan jenama kereta yang sememangnya mempunyai ramai peminat. Tidak kira samada kereta Porsche keluaran baharu mahupun yang lama pasti akan mempunyai peminat tersendiri termasuk Porsche Boxster 986. Mula dikeluarkan pada tahun 1996 (27 tahun lepas), Porsche Boxster telah memperkenalkan era baharu dalam roadster enjin pertengahan dan sehingga kini ia terbukti masih lagi mempunyai aura tarikannya yang tersendiri.

Jadi, dalam artikel kali ini, kami akan meneroka daya tarikan yang dimiliki oleh Porsche Boxster 986, termasuk reka bentuk dan prestasinya sehingga menjadikan ia sebagai antara ikon kereta klasik jenama Porsche yang masih digemari sehingga kini.

Reka Bentuk Elegan:
Umum tahu bahawa rekaan Boxster 986 sedikit sebanyak mempunyai ciri unik yang terdapat pada Porsche 550 Spyder. Rekaan luarannya yang anggun dengan hud yang panjang dan bahagian dek yang pendek, serta garisan badan yang diukir menonjolkan lagi rekaan yang ekslusif. Lihat sahaja pada bahagian lampu hadapan dan spoiler belakang, sememangnya reka bentuk Boxster 986 kelihatan ‘sado’ dan elegan secara visual.

Prestasi Yang Unggul:
Untuk pengetahuan, enjin Boxster 986 dipasang di bawah hud belakang yang secara tidak langsung akan memberikan keseimbangan yang luar biasa dan dinamik dalam pengendaliannya. Bagi model asas, ia menampilkan enjin 2.5 liter flat-six, yang mampu menghasilkan 201 kuasa kuda manakala model yang lebih baru pula menawarkan varian dengan prestasi dan output kuasa yang lebih tinggi. Ini termasuk enjin 2.7 liter flat-six yang mampu menghasilkan 217 kuasa kuda dan 260 Nm tork dengan kadar pecutan 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.4 saat. Manakala untuk enjin 3.2 liter flat-six pula, ia mampu menghasilkan 252 kuasa kuda dengan 305 Nm tork, selain kadar pecutan dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 5.7 saat.

Legasi:

Sebagai Boxster generasi yang pertama, ia menghidupkan semula kehadiran Porsche dalam segmen kereta sports peringkat permulaan (entry-level sports car segment). Kesannya, model ini akan sentiasa menjadi antara model Porsche klasik yang dicari-cari oleh peminat walaupun sudah berusia lebih 20 tahun. Tambahan pula, dengan rekaan ekslusif dan membawa lambang keunggulan sebuah Porsche, ternyata Porsche Boxster 986 akan menjadi ‘pintu utama’ buat mereka yang ingin berjinak-jinak untuk memiliki sebuah Porsche.

No comments yet! You be the first to comment.

Your email address will not be published.