PLUS Keluarkan Jadual Perjalanan PRU15. Dijangka 2 Juta Pulang Mengundi.
Sempena pilihanraya umum ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022 (Sabtu), pihak PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telahpun mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) buat semua pengguna Lebuhraya Utara-Selatan dari 17 November hingga 21 November 2022.
Menurut Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi, hampir dua juta kenderaan dijangka bakal ‘membanjiri’ lebuhraya tersebut dan berharap agar TTA yang dikeluarkan oleh pihak PLUS ini mampu untuk mengurangkan kesesakan trafik teruk sepanjang PRU15. Menurut beliau lagi, kesemua pengguna lebuhraya seharusnya merancang supaya perjalanan mereka menjadi lebih lancar.
Bagi pengguna lebuhraya dari kawasan Lembah Klang yang menuju ke arah utara (Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis) serta ke arah selatan (Johor) pada 16 November hingga 18 November 2022, disarankan supaya memasuki lebuhraya sebelum jam 10 pagi pada hari tersebut. Bagi pengguna yang menuju ke lain-lain negeri pula, disarankan agar mereka masuk ke lebuhraya di antara jam 1 tengah hari hingga 4 petang.
Selain itu, bagi perjalanan pulang semula ke Lembah Klang bermula dari tarikh 20 November hingga 21 November pula, pengguna dari arah utara, selatan serta lain-lain negeri dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi.
Menurut pihak PLUS lagi, bagi memastikan perjalanan yang lebih selesa pihak mereka akan memastikan kemudahan lebuh raya dan kawasan rehat dan rawat (R&R) berada pada tahap terbaik selain segala kerja-kerja penyelenggaraan, naik taraf atau pembinaan akan dihentikan dari 17 hingga 21 November 2022.
Selain itu juga, pihak PLUS turut menyediakan kren dan trak tunda di lokasi strategik sekiranya berlaku kemalangan di lebuhraya, serta turut menugaskan 200 pasukan PLUSRonda, 1,500 kakitangan di plaza tol dan 30 petugas di Pusat Pemantauan Trafik untuk memantau pergerakan trafik.
Untuk info lebih lanjut, jadual TTA boleh didapati terus menerusi laman sesawang rasmi di www.plus.com.my ATAU melalui aplikasi PLUS Mobile App di Google Play Store atau App Store ATAU melalui Twitter PLUSTrafik.