PHS Automotive Malaysia Kini Merupakan Pengedar Rasmi Audi Di Malaysia

PHS Automotive Malaysia (PHSAM) telah mengumumkan bahawa mereka kini menjadi pengedar rasmi buat kenderaan jenama Audi bagi pasaran Malaysia. Dimiliki sepenuhnya oleh pakar automotif Eropah, Porsche Holding Salzburg (PHS), PHSAM akan mewakili pemborong, pemasaran dan juga perkhidmatan selepas jualan (aftersales) bagi jenama Audi di negara ini.

Untuk pengetahuan, Porsche Holding Salzburg merupakan sebahagian daripada Kumpulan Volkswagen dan merupakan antara salah satu pengedar automotif terbesar dan paling berjaya di Eropah. Syarikat yang berpengkalan di Salzburg (Austria) itu sebenarnya diasaskan pada tahun 1947 dan turut beroperasi di 29 pasaran dunia termasuk di Eropah, China, Jepun, Amerika Selatan dan Asia Tenggara.

Terdapat dua Pengarah Urusan yang akan mengetuai PHSAM, iaitu Erik Winter dan Kurt Leitner, yang juga merupakan Pengarah Urusan di Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCAM). Selain itu, mereka juga turut memainkan peranan penting dalam menguruskan kejayaan jenama Volkswagen di Malaysia termasuk mengembangkan lagi sayap barisan produk CKD mereka.

Antara barisan kenderaan jenama Audi yang terdapat sekarang adalah termasuk pilihan sedan, sportback dan juga SUV seperti A5, A7, Q3, Q5 dan Q8, selain model RS yang berprestasi tinggi. Menurut mereka lagi, proses pengurusan sudah pun tersedia dan kini mereka sedang memberikan keutamaan kepada mutu perkhidmatan selepas jualan dan untuk mengukuhkan lagi rangkaian perniagaan mereka ke arah yang lebih positif dan menguntungkan.

Menurut pihak mereka lagi, para pelanggan yang membeli kenderaan jenama Audi bermula dari tarikh 1 Julai 2022 juga turut akan ditawarkan dengan pengelenggaraan percuma (free maintenance) selama 3 tahun, waranti perbatuan tanpa had (unlimited mileage warranty) selama 5 tahun dan bantuan tepi jalan (roadside assistance) selama 5 tahun.

Kini, terdapat tiga Pusat Audi yang sah di seluruh Malaysia: Audi Centre Glenmarie, Audi Centre Ipoh, dan Audi Centre Juru manakala Audi Centre Setia Alam pula bakal beroperasi semula bermula 1 Ogos 2022. Bagi yang nak dapatkan lokasi sebenar pusat servis rasmi Audi di Malaysia, boleh klik pada pautan ini: https://www.audi.com.my/dealer-locator

No comments yet! You be the first to comment.

Your email address will not be published.