Durian. Ada yang RM10 dapat 3 biji, ada yang mahal macam Musang King boleh mencecah sehingga berpuluh ringgit sekilo. Tapi tentu belum mampu tandingi harga durian jenis Kanyao yang pernah dilelong sehingga RM199,000 sebiji di Thailand pada Jun 2019! Kaya…kaya…
Tapi, walaupun rasa dah sedap yang amat, ada satu je kekurangan raja buah ni. BAU. Bayangkan bau durian terperap dalam kereta? Macam mana nak ‘settle’ masalah bau hapak durian dalam kereta? Omputih kata ‘’don’t worry, be happy’’. Jom kita ikut petua semudah ABC di bawah:
1. TANGKAI DURIAN
Caranya mudah. Cuma belah tengah-tengah tangkai durian tu macam dalam gambar di atas dan kepit dekat aircond kereta anda. Sebenarnya petua ni telah dikongsi oleh penjual buah durian sendiri. Rupanya banyak kegunaan lain daripada sebiji durian kan? Macam pangsa durian boleh guna sebagai ‘gelas’ untuk minum air untuk elakkan badan jadi panas. Tau ke tak tau?
2. KOPI
Guna serbuk atau biji kopi (nak mahal guna Starbucks). Aroma kopi yang harum tu boleh menghapuskan bau durian. Patut la jurujual ‘perfume’ pun guna bau kopi untuk meneutralkan hidung anda selepas anda hidu terlampau banyak bau wangian. Kalau dalam rumah, anda boleh bancuh air kopi dan letak atas meja dan bau durian juga akan berkurangan.
3. CUKA
Cuka aka vinegar bukan setakat mampu elakkan kucing membuang najis di kawasan rumah. Malah asid daripada cuka juga boleh menghilangkan bau durian dalam kereta. Cuma letakkan semangkuk cuka dalam bonet kereta & tutup. Biarkan selama 2-3 jam. Mesti bau durian tiada lagi.
4. SODA BIKARBONAT / SERBUK PENAIK
Soda bikarbonat atau serbuk penaik, mana-mana pun boleh. Selain jadi bahan utama resipi kek, bahan ini juga mempunyai banyak fungsi lain. Untuk hilangkan bau durian dalam kereta, anda boleh letakkan semangkuk soda bikarbonat atau serbuk penaik dan biarkan semalaman dalam kereta anda. Anda juga boleh taburkan soda bikarbonat/serbuk penaik ni ke karpet atau kusyen kereta, biarkan beberapa jam dan vakum. Selain hapuskan bau durian, ia juga mampu bunuh kuman atau ‘disinfect’ karpet dan kusyen anda. Lipas pun benci benda ni.
5. ARANG
Biasa tengok tak mak-mak guna arang letak dalam peti ais akibat tak tahan bau makanan basah selepas terputus bekalan elektrik? Itulah antara keistimewaan arang. Cuma kalau nak letak dalam kereta, pastikan berlapik. Kan tak pasal-pasal habis hitam karpet. Selain itu, arang tadi juga selamat digunakan balik untuk barbeku.
6. ROTI
Antara cara paling mudah, semestinya dengan roti. Tapi pastikan roti kosong macam roti Gardenia tu. Jangan mengada pergi letak roti inti kacang, jagung pulak dalam kereta. Tinggalkan dalam kereta selama 2 hari dan roti tersebut akan mengeras. Lepas guna sila buang, jangan makan. Ingat, yang ni bukan macam arang boleh pakai semula yea.
7. DAUN PANDAN
Daun pandan terkenal dengan aroma yang sangat menyenangkan. Anda boleh letak seikat daun pandan dalam kereta atau bonet, atau kalau rajin sikit hiris halus, letak dalam kain nipis macam bunga rampai tu. Selain musim durian, anda juga boleh guna daun pandan untuk menggantikan ‘perfume’ kereta. Guna bahan semulajadi, lebih selamat.
8. GANTUNG DURIAN DI LUAR KERETA
Yang ni cara paling ‘rare’ dan kreatif. Alang-alang tak nak ada bau langsung dan malas nak cuci kereta, anda boleh cuba cara ni. Gantung sahaja durian yang dibeli di luar kereta anda. Ikat la dengan tali ke, plastik atau guni dengan kemas. Asal jangan jatuh atau terpelanting kena pengguna jalan raya lain sudah la. Lagi malang, jangan terjumpa spesis haiwan macam kat bawah ni. Konon nak hilang bau durian, tapi dengan durian-durian sekali hilang diratah makhluk ni.