Perodua Lancarkan All-New Axia. Harga Bermula RM38,600.

Sumber Imej: thestar.com.my

Selepas sekian lama menunggu, akhirnya Perodua secara rasminya telah melancarkan All-New Axia (Perodua Axia Serba Baharu). Dengan pelancarannya secara rasmi, sebanyak 2,900 pelanggan dijangka akan menerima kereta baharu mereka dalam masa terdekat.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, antara fokus utama pihak Perodua adalah untuk memaksimumkan penghantaran serta meyakinkan para pelanggan untuk menukar tempahan Axia generasi sebelum kepada All-New Axia. Menurut beliau lagi, daripada 44,000 tempahan, pihak Perodua telah berjaya meyakinkan lebih 13,600 pelanggan mereka untuk menukar kepada model terbaharu.

Selain itu juga, beliau turut mengatakan bahawa pihak Perodua mensasarkan jualan sebanyak 5,700 unit sebulan dengan sasaran pengeluaran tahunan model itu melebihi 80,000 unit.

No Model Harga Rasmi (Malaysia Barat dan tanpa Insuran)
1 Perodua Axia Serba Baharu G RM 38,600
2 Perodua Axia Serba Baharu X RM 40,000
3 Perodua Axia Serba Baharu SE RM 44,000
4 Perodua Axia Serba Baharu AV RM 49,500

Terdapat empat varian dengan harga bermula daripada RM 38,600 hingga RM 49,500 iaitu Perodua Axia Serba Baharu G, Perodua Axia Serba Baharu X, Perodua Axia Serba Baharu SE dan Perodua Axia Serba Baharu AV. Dengan menggunakan enjin D-CVT (Dwi-Mod CVT) 1.0 liter, tahap pembakaran bahan api memang sangat mengagumkan, iaitu sehingga 27.4 km/liter dengan menggunakan sistem Eco Idle atau Start/Stop Automatik bergantung kepada cara pemanduan.

Selain itu, Perodua Axia Serba Baharu turut didatangkan dengan lima warna yang menarik: Coral Blue (baharu), Granite Grey, Glittering Silver, Ivory White (solid) dan Lava Red. Antara perkara menarik tentang Perodua Axia Serba Baharu adalah selain turut mendapat penarafan keselamatan 4-Bintang daripada ASEAN NCAP, model baharu ini juga diperhalusi dalam semua aspek dari segi keselesaan, saiz dan ruang.

Jadi pada mana-mana yang berminat untuk mendapatkan Perodua Axia Serba Baharu tahun 2023, bolehlah terus ke mana-mana 192 cawangan pusat jualan Perodua yang sah.

Sumber imej: suaramerdeka.com.my
No comments yet! You be the first to comment.

Your email address will not be published.