Sumber imej: hmetro.com.my
Banjir adalah satu bencana alam yang sering berlaku di negara kita setiap tahun. Bukan hanya di negeri Pantai Timur, malah di bandar besar juga sering berlaku banjir tanpa disangka-sangka. Jadi, bayangkan anda adalah salah seorang mangsa banjir dan pada ketika itu anda perlu memandu meredah banjir? Jangan panik, ikut tip yang Automology akan kongsikan di bawah:
- NILAI KEDALAMAN AIR.
Sumber imej: usgs.gov
Tahap kedalaman air boleh mengelirukan jadi sebelum anda dengan yakinnya ingin mempertaruhkan nyawa dan kenderaan anda untuk meredah banjir, sila lihat keadaan sekeliling dan periksa kedalaman air. Lagi bagus jika ada kenderaan lain sebelum anda yang sudah meredah banjir di laluan sama. Jika anda nampak air tidak terlalu dalam (separuh ketinggian tayar), maka anda mungkin akan meredah dengan selamat. Tapi kalau orang di hadapan memandu trak pikap manakala anda pula memandu Perodua Kelisa, jangan ikut pula. Ini kerana tahap ‘wading depth’ setiap kenderaan tidak sama. Ingat, walaupun anda memandu Kelisa, tidak bermaksud kereta anda boleh berenang ya!
Sumber imej: tacomaworld.com
- SEBELUM MULA, MATIKAN PENGHAWA DINGIN.
Sumber imej: apsaigonpetro.com
Okay, selepas anda sudah periksa kedalaman air dan yakin kenderaan anda boleh meredah banjir dengan selamat, sila pastikan anda matikan dahulu penghawa dingin. Ini kerana pemampat kenderaan sememangnya sangat terdedah dengan kerosakan air, mungkin kerana posisinya yang lebih dekat dengan tanah dalam ruang enjin. Jadi, seeloknya anda matikan dahulu penghawa dingin untuk mengelakkan sebarang kerosakan pada sistem penghawa dingin kenderaan anda dan buka sedikit tingkap kereta untuk pengaliran udara. Selain itu, apabila anda mematikan sistem penghawa dingin, kenderaan anda juga akan mempunyai sedikit kuasa tambahan yang sangat penting dalam situasi yang mencabar.
- CARI TITIK TERTINGGI.
Sumber imej: linkedin.com
Apabila anda mula memandu untuk meredah banjir, pastikan anda tahu titik tertinggi sesuatu permukaan jalan atau laluan yang anda gunakan. Biasanya, titik tertinggi sesuatu jalan adalah bahagian tengah jalan. Jadi, anda seharusnya mengelak daripada menggunakan bahu jalan kerana kedudukannya yang lebih rendah, jadi tahap kedalaman air adalah lebih tinggi dan bahaya. Silap-silap kereta boleh tersangkut, sama macam gambar di atas.
- JANGAN LAJU!
Sumber imej: theaa.com
Semasa meredah banjir, jangan memandu laju! Perlahankan kenderaan anda dan kekalkan tahap kelajuan anda. Ini untuk memastikan kenderaan anda mampu meredah dengan selamat kerana kurang percikan air dan ombak. Selain mampu mengurangkan jumlah air yang masuk dalam enjin atau komponen kenderaan anda yang lain, kenderaan anda juga akan mampu untuk dikawal dengan mudah. Yang paling penting, jika anda menjaga kelajuan, anda juga tidak menghasilkan gelombang haluan yang besar yang boleh membahayakan kenderaan lain yang turut sama meredah banjir.
- ENJIN KERETA MATI? JANGAN HIDUPKAN!
Sumber imej: mstar.com.my
Sekiranya kenderaan anda tiba-tiba terhenti dan enjin mati semasa meredah banjir, jangan sesekali cuba untuk menghidupkan semula enjin! Tindakan anda mungkin akan menyebabkan kegagalan mekanikal yang dikenali sebagai kunci hidro yang mana air boleh masuk ke dalam enjin dan menyebabkan kerosakan teruk. Sebaliknya, anda dinasihatkan untuk keluar daripada kenderaan anda dan bergerak ke suatu kawasan yang lebih tinggi dan selamat. Jika air terlalu tinggi sehingga menyebabkan anda sukar untuk keluar daripada kenderaan akibat tekanan air di luar, anda boleh cuba menolak pintu dengan kedua-dua kaki anda atau keluar sahaja ikut tingkap. Yang penting, jangan panik!