Pencuri Kereta Patah Balik Bagi “Ceramah Keibubapaan” Kepada Ibu Yang Tinggalkan Anak Dalam Kereta
Seorang pencuri kereta terkejut selepas mendapati kereta yang dicurinya mempunyai seorang kanak-kanak berusia empat tahun di bahagian belakang. Namun apa yang menariknya, pencuri tersebut patah balik untuk memulangkan kembali kanak-kanak itu kepada ibunya dan memberikan ‘ceramah keibubapaan’ kepada wanita terbabit. Malah, sebelum melarikan diri bersama kereta terbabit, dia sempat memberitahu wanita itu yang dia akan membuat panggilan polis di atas kecuaian wanita itu kerana membiarkan anaknya di dalam kereta yang tidak berkunci. Eh? Dah la dia curi kereta orang lepas tu bagi ceramah pulak kepada tuan kereta yang dicuri?
Adakah kejadian pelik tapi benar ni terjadi di Malaysia? Sudah tentu tidak. Sebab kejadian ni sebenarnya berlaku di sebuah pasaraya tempatan di Portland, Oregon, Amerika Syarikat. Menurut si ibu, walaupun kereta Honda Pilot miliknya dicuri tapi dia masih bersyukur kerana anaknya selamat dalam kejadian tersebut. Kalau anda nak tahu, Honda Pilot ni dia nak seakan Honda CR-V, cuma saiznya lebih besar. Kalau CR-V ni panjangnya 182 inci dengan ketinggian 66.5 inci, manakala Honda Pilot pula panjangnya 196.5 inci dengan ketinggian mencecah 70.6 inci.
Beberapa jam selepas kejadian, pihak polis berjaya menemui semula kereta milik wanita itu kira-kira 16 kilometer dari bandar Portland. Selain itu, pihak polis juga masih lagi mencari suspek kejadian iaitu seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun dengan rambut gelap dan memakai pelitup muka berwarna-warni. Musim Covid-19 ni memang susah sikit nak cari penjenayah sebab semua orang pakai pelitup muka. Macam semua sama je. Kan?