Oh, Proton. Masalah Kekurangan Alat Ganti Berpunca Dari Kelemahan Sistem IT?
Automologis FATIN pun ada “first hand experience” dengan pusat servis Proton.
Proton, oh Proton. Menjadi kebanggaan rakyat Malaysia apabila menjadi syarikat kereta buatan Malaysia pertama pada tahun 1983. Namun pada tahun 2017, DRB-HICOM telah menjual 49.9% saham Proton kepada Geely Automobile Holdings, iaitu syarikat automotif dari negara China.
Jadi kalau diikutkan, Proton sudah pun wujud dalam industri automotif selama 38 tahun. Malah Proton juga turut merekodkan jumlah jualan yang memberangsangkan pada tahun 2020, iaitu 8.8 peratus lebih tinggi berbanding tahun 2019 walaupun dilanda pandemik Covid-19 yang melumpuhkan ekonomi negara di seluruh dunia.
Tahniah diucapkan atas peningkatan jualan. Tapi satu sahaja yang sering jadi isu tentang Proton ni. Katanya jualan meningkat, tapi sampai bila masalah kekurangan alat ganti akan berakhir? Masalah ni telah disuarakan oleh ramai pengguna Proton yang tidak puas hati, lebih-lebih lagi berkaitan servis selepas jualan. Bayangkan ada sesetengah daripada mereka yang terpaksa tunggu sehingga berbulan-bulan lamanya untuk mendapatkan alat ganti. Mana orang tak marah, tiap-tiap bulan kena bayar ansuran bank tapi kereta tersadai tak boleh pakai.
Bagi bukan pemilik Proton, anda mungkin tak tahu cerita sebenar. Kalau anda nak tahu apa masalah yang dihadapi oleh pemilik Proton yang sebenar, terjah sahaja laman Facebook mereka. Cuba lihat masalah yang disuarakan pemilik lebih-lebih lagi pada laman Facebook Proton Owner Club tu (X70, X50, Persona, Iriz, Saga semua ada).
Selain itu, lagi parah bila ada sumber mengatakan masalah kekurangan alat ganti itu bukan berpunca daripada kelemahan pengilang di China atau pengilang di Malaysia, dan juga bukan alasan masalah logistik disebabkan pandemik Covid-19. Punca utama adalah disebabkan kelemahan dalaman Proton sendiri iaitu SISTEM IT yang mereka gunakan. Sistem dah tua sangat katanya.
Ramai tahu bahawa pihak pengurusan IT dalam Proton pernah melakukan migrasi sistem. Namun malangnya selepas itulah banyak masalah muncul. Antaranya, Proton’s Part Center dan pusat servis Proton di seluruh negara mengalami masalah komunikasi dengan jumlah dan jenis pesanan, selain mereka kena buat pesanan dan invois secara manual. Selain itu, pesanan alat ganti juga ada yang tak sampai atau hilang malah lebih teruk status penghantaran ghaib entah ke mana.
Jadi itulah punca pengguna Proton terpaksa tunggu lama. Bayangkan dah la lama menunggu, bila ditanya, pusat servis Proton sendiri tiada stok dan bagi alasan barang tak cukup. Tapi yang peliknya, bila pengguna singgah di mana-mana pusat servis bebas milik persendirian, alat ganti Proton banyak pula. Bila ditanya, mereka kata mereka buat pesanan dan beli secara langsung daripada Proton sendiri. Pening ke tak pening? Orang luar ada, tapi pihak servis Proton sendiri tiada barang. Adakah situasi ini persis peribahasa ‘anak kera di hutan disusukan, anak sendiri di rumah kebuluran’?
Kesian pada pengguna sampai ada yang tak mampu tunggu dan terpaksa baiki di pusat servis luar dan akur jika akhirnya waranti kereta mereka terbatal atau tidak sah. Bayangkan itu aje kereta yang dia ada. Takkan hari-hari nak naik Grab?
P/S: Penulis pernah juga bertanya tentang kenapa alat ganti tak cukup dekat pusat servis Proton. Tahu apa jawapan selamat mereka gunakan? Sebab ramai sangat pengguna beli kereta Proton! Terhibur juga dengan jawapan macam tu. Facepalm!