Minyak Petrol Di Sri Lanka Habis
Negara menghadapi krisis ekonomi terburuk.
Kesian. Itu antara perkataan pertama buat rakyat Sri Lanka sekarang yang sedang dilanda krisis ekonomi terburuk dalam sejarah negara mereka dalam tempoh 70 tahun. Antara punca utama krisis ekonomi terburuk ini adalah semasa kerajaan Sri Lanka di bawah pemerintahan presiden Gotabaya Rajapaksa, mereka telah membuat pemotongan cukai besar yang akhirnya menjejaskan hasil kerajaan dan dasar fiskal sehingga menyebabkan defisit belanjawan negara meningkat. Kesannya, Sri Lanka tidak lagi mampu membayar hutang berjumlah AS$51 bilion (RM 216 bilion) dan menjadikan negara itu muflis.
Dalam keadaan serba terdesak, kerajaan Sri Lanka turut meminta ‘sumbangan’ daripada rakyatnya yang bekerja di luar negara. Mereka berharap agar rakyat di luar negara turut membantu untuk menyalurkan duit dalam mata wang asing dalam kadar segera. Namun malangnya, kaedah itu tidak mendapat sambutan yang baik daripada rakyatnya sendiri di luar negara kerana mereka tidak percaya jika kerajaan yang memegang duit mereka. Sebelum ini mereka pernah membantu menyalurkan derma untuk mangsa tsunami namun malangnya kesemua duit itu masuk ke poket ahli politik mereka, termasuk Perdana Menteri pada ketika itu, Mahinda Rajapaksa, yang mengarahkan wang sumbangan masuk ke akaun peribadi beliau (83 juta rupee atau bersamaan RM 1 juta). Sesuai dengan namanya, suka memaksa orang dia ni.
Lihatlah akibat angkara beberapa ahli politik, satu negara yang dihuni 22 juta penduduk yang terkesan. Terbaru, Sri Lanka kini berdepan dengan masalah tiada stok petrol selain pihak kerajaan mereka turut memberi amaran bahawa Sri Lanka bakal berdepan gangguan bekalan elektrik sehingga 15 jam sehari kerana mereka sememangnya bergantung kepada minyak untuk menjana elektrik.
Sejak bulan Mac 2022 lagi, rakyat negara itu melakukan protes besar-besaran kerana rakyat menderita akibat kekurangan makanan, ketiadaan elektrik serta kehabisan bahan api dan juga minyak petrol yang dilihat tiada penghujung. Semoga semua negara di luar pun turut mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di negara Sri Lanka. Apa pendapat anda?