Biar betul? Mercedes-Benz baharu bakal mempunyai mata? Adakah bentuk matanya seperti mata manusia atau bagaimana? Sebenarnya, ‘mata’ yang dimaksudkan adalah sistem kamera yang lebih banyak dan lebih canggih sehinggakan kereta tersebut mampu untuk mengesan sekiranya pemandu menjadi mengantuk atau gagal fokus semasa memandu. Sememangnya satu teknologi yang terbaik dan selamat untuk mengelakkan kemalangan akibat tidur mikro (microsleep).
Umum sudah tahu, terdapat banyak kemalangan maut yang disebabkan oleh microsleep atau masalah tidur apabila seseorang individu itu mengalami keadaan di mana otaknya tidur tetapi sensori seperti mata, tangan dan kaki masih aktif. Senang cerita, banyak kes kemalangan maut disebabkan oleh pemandu yang tiba-tiba terlelap semasa memandu. Sangat bahaya!
Oleh sebab peka dengan masalah yang sering dihadapi pemandu, khususnya golongan yang lebih berusia, kini Mercedes-Benz E-Class baharu bakal dilengkapi ‘mata’ atau kamera untuk memantau pemandu, selain turut dilengkapi dengan sistem hiburan canggih lain termasuk pilihan skrin super papan pemuka pintar dengan aplikasi pra-muat seperti Angry Birds, Zoom, TikTok dan banyak lagi.
Daripada enam kombinasi enjin pengecas turbo 2-liter yang ditawarkan semasa pelancaran, satu (E200) ialah hibrid ringan petrol 204 hp (0 hingga 100 km/j dalam 7.5 saat sehingga kelajuan tertinggi 240 km/j), dan dua ialah hibrid ringan diesel (E220d) selain pacuan semua roda (E220d 4Matic), disokong oleh penjana pemula bersepadu yang mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa 7.8 saat.
Selain itu juga, tiga hibrid plug-in terdiri daripada gabungan petrol-elektrik yang lebih berkuasa: E300e (0 hingga 100 km/j dalam 6.4 saat sehingga 235 km/j); pacuan semua roda E300e4Matic yang lebih perlahan; dan E400e yang paling berkuasa (0 hingga 100 km/j dalam 5.3 saat sehingga 249 km/j) dengan pelepasan CO2 sehingga 20g/km dan julat elektrik sahaja sehingga 68 batu (109 km).
Menariknya lagi, semuanya dipautkan kepada kotak gear automatik 9-kelajuan, dengan kapasiti 540-liter untuk ruang begasi (but). Dah berkenan? Sabar dahulu sebab kena tahu juga harganya pula macam mana kan? Bila dah tahu jenamanya adalah Mercedes-Benz, sudah tentu harganya bukan mampu milik. Ini kerana, harga yang ditawarkan adalah bermula daripada £50,000 (atau bersamaan RM 278,000 tidak termasuk cukai dan lain-lain). Kalau dah masuk Malaysia sudah tentu harganya jauh lebih tinggi. Tapi sekiranya anda mampu, apa salahnya kan?